Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
SHAH ALAM: Pemecatan tiga veteran Umno dan bekas menteri kabinet hari
ini memang wajar kerana mereka melanggar undang-undang parti, kata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman bin Dahlan.
Lembaga disiplin Umno memecat veteran Tun Daim Zainuddin, Tan Sri
Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim dari parti itu kerana berada di
majlis pembangkang.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan
beliau telah menandatangani surat memecat ketiga-tiga bekas menteri
itu.
"Memang itu undang-undang kita. Kalau berceramah atas pentas
pembangkang, kita akan pecat," kata Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis
Tertinggi Umno.
Beliau yang juga calon Parlimen Sepanggar kecewa dengan tindakan mereka
yang dahulunya sama-sama menerajui Umno kini beralih menyokong
pembangkang dan membuat tuduhan yang jelas memihak kepada sebelah pihak.
Rahman juga mempersoalkan kredibiliti Rafidah yang rancak mempersoalkan
tuduhan rasuah terhadap Datuk Seri Najib Razak tetapi takut untuk
bertanyakan hal yang sama kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad yang kini menerajui pakatan pembangkang.
Katanya, persoalan mengenai rasuah tidak seharusnya dipilih siapa yang
akan menjawab tetapi lebih kepada kenapa hanya bertanya kepada satu
pihak sahaja dan takut untuk bertanya kepada Dr Mahathir.
"Saya kecewa juga dengan Rafidah, Rais dan Daim sebab mereka bertanya
tuduhan kepada perdana menteri mengenai pelbagai isu tetapi takut nak
mempersoalkan Tun Mahathir mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap
Tun Mahathir oleh pembangkang yang mengatakan Tun Mahathir ini diktator,
perasuah besar, salah guna kuasa yang besar.
"Soalan saya kenapa Rafidah Aziz takut sangat nak tanya perkara ini.
Jadi kalau nak bertanya tentang soal rasuah atau ragu-ragu tidak boleh
memilih. Dia juga perlu berani bertanya kepada Tun Mahathir," ujarnya.
Abdul Rahman juga mempersoalkan keikhlasan bekas ahli veteran Umno itu
yang hanya bercakap mengenai soal salah guna kuasa yang terpilih.
"Rafidah Aziz, Daim dan Rais tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap
mengenai salah guna kuasa kerana mereka hanya bercakap tentang soal
guna kuasa yang terpilih."
Katanya, pemimpin pembangkang termasuk Tun Mahathir juga terpalit
dengan beberapa tuduhan dan juga rasuah, tetapi Tan Sri Rafidah Aziz
tidak menyentuh mengenai hal itu.
"Tun Mahathir juga telah dituduh dengan pelbagai tuduhan, tetapi tidak pula diungkitkan oleh mereka.
"Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Azmin Ali juga menghadapi pertuduhan
mengenai rasuah tetapi tidak disebut oleh Rafidah Aziz," tambahnya.
Mengenai sama ada Umno akan terkesan dengan pemecatan tiga bekas
veteran Umno ini, Abdul Rahman berkata parti tidak akan terkesan kerana
mereka mempunyai ramai pemimpin dalam parti itu dan zaman bekas veteran
Umno ini sudah berlalu.
"Tidak ada. Umno mempunyai ramai pemimpin. Zaman mereka sudah berlalu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment