PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini
mengumumkan golongan muda berusia bawah 26 tahun yang bekerja akan
diberikan pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya jika Barisan Nasional
(BN) kembali diberi mandat mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14) esok.
Beliau yang juga Pengerusi BN turut mengumumkan tiada sebarang bayaran
tol akan dikenakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti, bagi tempoh selama
lima hari.
"Dua hari sebelum raya dan pada hari raya pertama hingga ketiga," kata Najib.
Bagi pengecualian cukai , Najib berkata, ia bermula bagi tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun berikutnya dengan serta merta.
"Ini bermakna orang muda yang bekerja yang berusia 26 tahun ke bawah,
tidak kira banyak mana pendapatan mereka tidak perlu membayar cukai.
"Saya tahu orang muda memerlukan wang yang mencukupi untuk pelbagai
tujuan seperti membeli kereta, sewa rumah dan memberi wang kepada ibu
bapa.
"Jadi sebagai sebuah kerajaan BN begitu prihatin, maka pertama kali
dalam sejarah Malaysia, mereka berusia 26 tahun ke bawah tidak perlu
membayar cukai.
"Pengumuman ini bermakna cukai yang dibayar tahun sudah (lepas) pun
akan dikembalikan semula kepada mereka," katanya dipetik Utusan Online.
Najib turut mencadangkan 13 dan 14 Mei ini sebagai cuti peristiwa sekiranya BN kembali mendapat mandat.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai menghargai penat lelah jentera
PRU-14 sama ada daripada BN mahupun pembangkang dan seluruh rakyat
Malaysia.
"PRU-14 jatuh antara bulan-bulan istimewa di sisi Islam dan paling hampir Ramadan bakal muncul tidak lama lagi.
"Saya harap dengan cuti dua hari berturut-turut itu semua rakyat
Malaysia terutama umat Islam dapat membuat persiapan berpuasa bersama
keluarga tersayang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena PRU-14 di pekarangan kediamannya di Sri Kenangan, di sini malam ini.
No comments:
Post a Comment