Fuzi Harun percaya masyarakat akan menerima keputusan kelak dengan kematangan dan hati terbuka atas semangat pilihan raya.
Polis beri jaminan situasi keselamatan negara kekal terkawal dan selamat, dan yakin hari pembuangan undi esok akan berjalan dengan lancar, aman dan tenteram.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun juga percaya masyarakat akan menerima keputusan kelak dengan kematangan dan hati terbuka atas semangat pilihan raya.
“Oleh yang demikian, rakyat diminta untuk turun beramai-ramai bagi menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Mereka tidak perlu khuatir dan gusar akan keselamatan diri kerana polis akan memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” kata Fuzi dalam kenyataan hari ini.
Fuzi berkata polis mengambil serius cerita-cerita palsu berbaur fitnah dan hasutan yang cuba membentuk persepsi akan berlaku kacau bilau dan ketidaktenteraman awam jika pilihan raya dimenangi pihak tertentu.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menimbulkan provokasi sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.”
Seramai 14,449,200 orang pemilih berdaftar akan mengundi esok.
No comments:
Post a Comment