Tuesday, May 8, 2018

Anwar tersasar, menyerah kepada Dr Mahathir

Oleh Ghazali Mat Dom
 
 
Bukan mudah untuk menyingkirkan Dr Mahathir daripada kuasa dan kedudukan barunya dan beliau akan memastikan kekal sehingga matlamat sebenarnya tercapai.
 
 




Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya baru-baru ini menggesa rakyat menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN)/Umno.

Alasannya menyokong Dr Mahathir – orang yang bertanggungjawab membenarkan fitnah ke atasya, demi perdamaian dan seperti biasa “common enemy”.

Ada yang kata “The enemy of my enemy is my friend” ialah strategi politik, oleh itu Anwar menyokong Dr M untuk memastikan BN/Umno berpecah dan kalah.

Pasti itu teori hebat kerana selepas itu, pintu politik untuk mencengkam kuasa terbuka luas – semua mampu dan boleh mencapai kuasa. Maka, mereka akan berebut-rebut, tolak-menolak, cantas-mencantas untuk menaiki takhta politik negara.

Kita perlu ingat strategi mengatakan “musuh kepada musuh kita adalah kawan” hanya menumpukan usaha penentangan.

Dalam konteks ini, Dr Mahathir dijadikan musuh Datuk Seri Najib Razak dan ia melibatkan BN/Umno. Musuh Pakatan Harapan (PH) adalah BN/Umno dan kolaborasi atas satu matlamat ini dikatakan perlu dilakukan.

Matlamatnya hanya satu – menjatuhkan Najib dan kerana parti Melayu itu mempertahankan Najib, maka menjatuhkan BN/Umno adalah satu keperluan.

Dalam pada itu, tidak ada pengesahan mengatakan Anwar, Dr Mahathir dan parti dalam PH mencapai persefahaman dari segi ideologi dan idealisme perjuangan. Mereka akan terus membuka buku baru penentangan, selepas menumbangkan kuasa yang ada.

Vakum politik

Ini cara orang politik, untuk mendapatkan kuasa kerusi kuasa itu perlu dikosongkan. Bila kosong, maka perebutan lebih jelas dan mudah. Untuk tujuan ini – kuasa mesti dikosongkan dan penentangan perlu berlaku dengan kemenangan.

Jatuhkan Najib – maka akan ada vakum kuasa dan dalam kalangan PH ini kelak, ia akan disusun mengikut kehendak.

Bagi parti dalam PH, vakum ini akan memberi sebarang kemungkinan. Membuka semula pintu rundingan – penetapan kehendak, pertukaran dasar dan ini juga memudahkan semua dasar asas dibuka untuk rundingan, termasuk merealisasikan ideologi parti lain dalam PH seperti “Malaysian Malaysia”.

Dan dalam keadaan yang ada – penyatuan dalam PH dan sokongan kepada Dr Mahathir dikira lebih penting tanpa mengambil kira apa yang berlaku selepas ini, yang penting adalah mengosongkan kuasa dan selepas itu ia terbuka untuk perebutan.

Namun, “endorsement” PH untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ke-7 adalah langkah pincang. Ini akan menutup pintu – hilang vakum kerusi tertinggi politik dan akan Anwar terpaksa berdepan keadaan baru yang mungkin menyukarkan perubahan.

Bukan mudah untuk menyingkirkan Dr Mahathir daripada kuasa dan kedudukan barunya dan beliau akan memastikan kekal sehingga matlamat sebenarnya tercapai.

Menipu adalah alasan penipu

Apabila Anwar membicarakan perdamaian – adakah ia bermaksud menghalalkan cara demi matlamat?

Adakah kita sebenarnya mudah mempercayai seorang penyangak yang menuduh orang lain penyangak dan penipu?

Bukankah kita tahu – menipu adalah alasan penipu dan Dr Mahathir tidak asing dengan tuduhan fitnah, menipu dan memanipulasi keadaan?

Dalam keadaan sudah melakukan kemungkaran dalam pentadbirannya, melakukan fitnah besar terhadap Anwar, menzalimi pejuang rakyat yang menuntut keadilan, hari ini beliau terus menipu untuk menutup apa yang dilakukannya.

Maka, mengalihkan pandangan daripada dosa yang dilakukannya – kepada Najib dan Umno. Persoalannya, kenapa kita masih memberi ruangan kepada seorang penyangak yang menuduh orang lain penyangak?

Kecairan dominasi Melayu

Rakyat Malaysia perlu sedar keadaan sebenar yang ada dan mereka yang akan mengambil kesempatan ke atas keadaan dan kemelut yang terbit apabila Umno tumbang.

Kita perlu tahu Umno adalah satu-satunya wadah perjuangan orang Melayu dan hari ini kuasa politik itu dipegang orang Melayu.

Sekiranya kekosongan berlaku – vakum dalam politik itu berlaku akibat kita membenarkannya – segala kemasukan pembaharuan akan berlalu.

Dalam PH – dominasi Melayu amat cair. Kecairan ini memungkinkan perubahan dasar serius yang mungkin tidak menguntungkan orang Melayu yang belum menetapkan kekuatan pada teras.

Bangsa kita ini muda – tamadun kita belum pesat dan kekuatan sandaran kita selama ini adalah kuasa orang Melayu.

Bayangkan sekiranya ia dicairkan – apa sebenarnya akan berlaku kepada kita? Kita bukan bercerita mengenai konflik antara orang Melayu dan Cina dalam negara ini – kita membicarakan segelintir individu yang membawa hasrat, matlamat luar – bersembunyi dalam kerangka politik kita dan mendominasi agenda pembangkang secara tersembunyi.

Amat malang akhirnya kita menyerahkan tampuk kuasa kepada orang seperti Dr Mahathir yang sanggup melepaskan kerangka kuasa Melayu atas nama kepentingan dan kehendak sendiri – mencairkan dominasi politik yang kita ada semata-mata untuk merealisasikan agenda kecil dan sendiri.

*Ghazali Mat Dom ialah pembaca FMT.

No comments: