TAIPING: Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) kecewa dengan
tindakan PAS yang hanya memberikan tiga kerusi kepada parti itu pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Junip Huzaiyin berkata, perasaan itu
timbul apabila permintaan BERJASA kepada PAS untuk diberikan 17 kerusi
pada PRU-14 tidak ditunaikan.
Menurutnya, daripada lima calon terpilih hanya tiga kerusi yang akan
menggunakan lambang BERJASA, manakala selebihnya menggunakan lambang
PAS.
"Persahabatan ini macam ada agenda tertentu, kami hanya mampu bertanding tiga kerusi sahaja, ini sangat sedih kepada kami.
"Malah kerusi yang diberikan hanya kerusi yang kalah mati sahaja,"
katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini, lapor BH
Online.
Yang turut hadir, Pengerusi BERJASA Perak, Azahari Abdullah dan
Penyelaras BEJASA Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, Zainal Abidin
Abd Rahman.
Mohd Junip berkata, PAS seharusnya jelas dengan kewujudan BERJASA yang
ditubuhkan pada 1977 sehinggakan pernah menewaskan parti itu pada 1978
dan memperoleh 72,000 undi sokongan pada PRU-13.
"Kami bukan mahu mencaci, menghina sesiapa, kerana bukan sikap kita dan kita juga membawa nama parti Islam.
"Namun hari ini, kami ingin membuat teguran dan nasihat terhadap parti
yang mengaku memperjuangkan Islam bagaimanapun seolah-olah mengkhianati
jemaah satu lagi.
"Kami mewakili BERJASA ingin memberi nasihat, pandangan serta teguran
kerana apa yang dilakukan tidak melambangkan keikhlasan dan ikatan
ukhuwah Islamiah itu," katanya.
Mohd Junip turut mendakwa BERJASA seolah-olah dihalau oleh PAS dan
dinafikan hak sebenar apabila kerusi diberikan begitu sedikit berbanding
apa yang diminta.
"Matlamat tidak menghalalkan cara, hanya kerana rakus mahukan kuasa
sanggup menafikan hak kami dan enggan bertolak ansur memberi lima calon
tetapi dua calon bertanding atas tiket PAS," katanya.
No comments:
Post a Comment