PRU14 | Penceramah terkenal, Azhar Idrus hari ini membuat kemunculan dalam siri kempen PAS di Kuala Terengganu dan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap parti Islam itu.
Penceramah bertaraf selebriti yang popular dengan pendekatan jenaka dalam kuliah agamanya itu berkata, PAS merupakan parti Islam terbaik dan harus menjadi ikutan semua.
“Islam yang dibawa oleh PAS adalah pilihan terbaik untuk umat Islam di Malaysia ini,” katanya dalam program bicara santai Ayah Cik dengan Ustaz Azhar Idrus di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu.
Menurut Azhar, ia terbukti apabila golongan artis, pemuzik dan bekas penyokong BN sendiri menyatakan rasa kesal kerana selama ini tidak memilih PAS.
Bahkan, kata Azhar mereka sendiri mengirimkan pesanan kepadanya bagi menyatakan sokongan terhadap PAS.
“Muzik ini hiburan saja tapi bila mana saya berjumpa dengan ramai ahli muzik yang memberi janji kepada saya, insya-Allah 2018 kami akan memberi sokongan kepada parti Islam Se-Malaysia.
“Semalam dua orang artis terkenal (mesej di) inbox saya dalam Facebook akan memberi sokongan kepada PAS. Saya tanya belajar di mana? Dia kata tak, "saya dah tahu banyak sangat benda yang tak baik mengajar hidup kami makin jadi tak baik".
“Sebab itu artis yang tak belajar apa, akhirnya kembali kepada agama dan memang agamalah penyelesaian segala-galanya,” katanya.
'Bersih urus wang negeri'
Menurut Azhar, selain golongan artis, baru-baru ini beliau turut menerima panggilan daripada seorang wanita yang juga penyokong tegar Umno-BN.
“Kelmarin saya dapat pesanan yang mana ada seorang wanita ini dia orang Umno, orang kuat Umno tanya bila ceramah saya tapi saya lupa nak beritahu dia.
“Cumanya dia ini kata selama ini ketika dia berada dalam Umno terlalu banyak perkara lara (melalaikan) yang diajar tapi kali ini 'saya' (dia) akan undi PAS,” tambahnya di hadapan ribuan penduduk Terengganu yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda.
Sementara itu Azhar Idrus turut menegur anak muda yang enggan mengambil tahu soal politik dan menegaskan umat Islam harus mengetahui isu semasa terutama dalam kewajipan memilih pemimpin.
“Kita sokong parti yang pejuang Islam, jadi parti yang perjuang Islam sebenar ialah PAS.
"Tengok Kelantan siapa perintah, 'shopping mall' begitu banyak. Terengganu BN perintah tempat ke-3 paling mundur.
"Kerajaan pusat sendiri iktiraf Kelantan paling bersih 99 peratus urus wang negeri,” katanya di program sembang santai itu.
No comments:
Post a Comment