Oleh Umi Faten Nadia
SHAH ALAM: Daripada perjuangan mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan Presiden Umno kepada usaha untuk menjatuhkan Umno dengan kerjasama DAP.
Itulah puncanya bekas tokoh Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin mengundurkan diri daripada parti yang diterajui oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Maka saya sedar bahawa perjuangan itu adalah satu kesilapan dan yang paling penting ialah Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menukar asas perjuangan daripada mendesak Datuk Seri Najib untuk melepaskan jawatan presiden Umno untuk menyelamatkan Umno kepada menggugurkan Umno untuk kononnya Selamatkan Malaysia bersama dengan DAP,” kata Anina.
Beliau membuat kenyataan ini dalam sidang akhbar disiarkan melalui FB Live dalam akaun Facebooknya, 'Anina Saaduddin'.
Dalam siaran berdurasi selama 33 minit, Anina membongkar sebab utama pengunduran beliau daripada PPBM dan menjelaskan fitnah yang dihadapinya setelah berundur daripada parti itu.
Beliau turut mempersoalkan dan meminta Dr Mahathir menjawab beberapa persoalan mengenai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) itu, iaitu jumlah kekayaan yang dimiliki oleh keluarga beliau serta beberapa isu berkaitan seperti salah guna kuasa sebagai perdana menteri, dan status bilionair anak-anaknya.
Menurut Anina, Mahathir juga pernah membuat kenyataan untuk mengisytiharkan hartanya sekiranya menjadi calon yang bertanding pada PRU14.
"Ini telah bersesuaian dengan kenyataan beliau sendiri kepada wartawan selepas mesyuarat presiden Pakatan Harapan di parlimen pada 15 November 2017, di mana beliau telah berikrar untuk mengisytiharkan hartanya jika beliau menjadi calon pilihan raya di PRU14,” tambahnya.
Anina yang dilantik sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada November 2016, disingkirkan daripada semua jawatan parti selepas perbualan intimnya dalam WhatsApp dengan seorang lelaki tersebar.
Anina bagaimanapun menepis dakwaan itu.
No comments:
Post a Comment