Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Parti serpihan PAS, Amanah ibarat 'hidup segan mati tak
mahu', malah dilihat mustahil mampu menggantikan PAS yang memerintah
selama 27 tahun di Kelantan, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman
Yusoff.
Ujarnya, parti pimpinan Mohamad Sabu itu dilihat berperanan tidak lebih
sekadar 'tukang sorak' kepada parti komponen dalam gabungan
disertainya, Pakatan Harapan (PH).
Pandangan itu menyusul selepas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd
Amar Nik Abdullah yang dilaporkan sebagai berkata, jangka hayat Amanah
bakal berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berikutan tidak
mendapat sokongan rakyat terutamanya di negeri Che Siti Wan Kembang itu.
"Soal kemungkinan untuk Amanah merebut kuasa di Kelantan sangat hampir
mustahil. Hampir mustahil untuk Amanah membentuk kerajaan di negeri
Kelantan sebab tahap sokongan rakyat di peringkat akar umbi kepadanya
sangat rendah.
"Amanah ini hanyalah berperanan sebagai tukang sokong sahaja. Tukang
sorak dan yang menumpang di atas kekuatan orang lain. Dari satu segi,
saya bersetuju dengan pendapat Nik Amar bahawa Amanah akan tidak
selantang sekarang selepas PRU14 ini.
"Nak kata 'mati' terus itu tidak ada lah cuma hidup segan mati tak mahu," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Kamarul Zaman turut merujuk kepada kenyataan Mohamad atau Mat Sabu
sebelum ini yang secara terbuka mengakui parti pimpinannya tidak dapat
menandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) meskipun ditubuhkan
lebih awal.
Kamarul juga berkata, prestasi parti serpihan PAS itu jika diukur
dengan jumlah keahliannya, masih berada di tahap sokongan yang sangat
rendah.
"Yang disebut secara spesifik di dalam laporan setiausaha agung bahawa
keahlian Amanah memang 80,000 sepertimana Salahuddin Ayub sebut
sedangkan sebelum ini sudah disebut oleh Mohamad Sabu, Presiden Amanah
sejak tahun 2015 lagi bahawa sasarannya nakkan 100,000 orang menjelang
akhir tahun 2015. Jadi nampak jelas bahawa Amanah tidak berkembang.
"Macam dalam himpunan baru ini pun. Himpunan Kleptokrasi di Petaling
Jaya baru ini pun dia (Amanah) gagal walaupun telah membuat kerahan ahli
secara rasmi oleh setiausaha agung Amanah sendiri. Tetapi yang hadir
tidak ramai jadi jelas menunjukkan Amanah tidak mempunyai sokongan akar
umbi yang kuat," tambahnya.
Amanah yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS selepas gagal dalam
pemilihan parti pada 2015, sebelum ini berkali-kali menyatakan
keyakinannya untuk menjadi pengganti PAS khususnya di Kelantan, malah
dikatakan diletakkan sebagai parti teraju PH untuk menawan negeri itu.
Antarapos sebelum ini melaporkan, Amanah Kelantan mengesahkan ia
meminta sebanyak 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi
Parlimen di negeri itu untuk ditandingi pada PRU14 akan datang.
Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad bagaimanapun
berkata hasrat itu masih di peringkat perbincangan untuk dimuktamadkan.
DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi dengan 31 darinya dikuasai PAS, 13 milik Umno dan satu kerusi milik Amanah.
No comments:
Post a Comment