Thursday, March 2, 2017

Korea Utara pertahan Jong-nam mati akibat serangan jantung

MALAYSIA GAZETTE
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang wanita sedang menyerkup kepala Kim Jong-nam di klia2 pada 13 Februari lalu.

KUALA LUMPUR – Korea Utara tetap mempertahankan kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu kerana serangan jantung dan bukan disebabkan kesan senjata kimia.

Bekas Duta Korea Utara ke PBB, Ri Tong Il berkata, pendirian itu berdasarkan rekod kesihatan Jong-nam sebelum ini menunjukkan dia mengalami masalah jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Malah, beliau mendakwa, sumber Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan mereka turut menemui ubat diabetes, jantung dan darah tinggi dalam bedah siasat yang dijalankan.

“Ini membuktikan punca kematian akibat serangan jantung,” katanya pada sidang media di hadapan pejabat Kedutaan Besar Korea Utara.

Menurutnya, Jong-nam tidak boleh ke mana-mana tanpa membawa ubat-ubat tersebut dan mendakwa lelaki itu pernah dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung dan menerima rawatan dari semasa ke semasa.

Beliau mempersoalkan bagaimana dua wanita yang menyerkup muka Jong-nam tidak menerima kesan yang sama.

“Mengapa, polis, doktor dan jururawat yang merawat mangsa tidak menerima kesan sama, sedangkan agen saraf sangat bertoksik, dikategorikan sebagai senjata kimia.

“Sesiapa yang terdedah dengan bahan toksik ini terdedah mati serta-merta,” katanya.

Sehubungan itu, Korea Utara meminta Jawatankuasa Antarabangsa menjawab semua persoalan yang dikemukakan.

Jong-nam di serang oleh dua wanita di balai berlepas klia2 pada pagi 13 Februari lalu ketika menunggu penerbangan ke Macau selepas berada di Malaysia sejak 6 Februari.

Hasil awal bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat lelaki itu mendapati dia mati akibat agen saraf VX.
Semalam, dua wanita iaitu Siti Aisyah dan Doan Thi Huong telah didakwa bersama empat yang masih bebas dengan tuduhan membunuh Jong-nam. – MalaysiaGazette


No comments: