Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS Selangor percaya dapat mempertahankan sokongan bukan
Melayu, terutamanya kaum Cina dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Iskandar Abdul Samad yakin dengan imej
PAS, yang kini bukan lagi menjadi 'kuda tunggangan' mana-mana pihak.
Selain prestasi baik yang ditonjolkan wakil rakyatnya menjadi kunci
kepada kemenangannya, meskipun tidak lagi bekerjasama dengan parti-parti
politik pembangkang terbesar.
"Kami yakin dengan peningkatan undi orang Melayu selepas melancarkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.
"Orang Melayu juga tidak lagi melihat PAS sebagai tunggangan mana-mana
parti dan tegas memperjuangkan isu-isu yang melibatkan umat Islam.
"Kami juga yakin dapat mengekalkan sebahagian besar undi orang Cina
yang pernah kami perolehi berdasarkan rekod baik wakil-wakil rakyat
kami," katanya kepada Antarapos.
Iskandar berkata demikian mengulas dakwaan PAS akan kehilangan
sekurang-kurangnya sepuluh kerusi DUN Selangor dalam pilihan raya akan
datang.
Situasi itu bakal dihadapi PAS setelah hilangnya sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina.
Dakwaan itu dilaporkan menerusi analisis dalam akhbar harian Cina,
Oriental Daily dengan menambah situasi buruk itu terjadi selepas PAS
enggan mengadakan kerjasama dengan DAP dan Amanah.
Lebih lanjut Iskandar menegaskan PAS tetap menjadi pilihan pengundi meskipun berlakunya pertembungan lebih dari dua kerusi.
"Kami juga yakin rakyat tetap akan memilih PAS jika berlaku tiga
penjuru iaitu terdapat pihak ketiga mengacau kerusi-kerusi PAS.
"Saya yakin rakyat faham jika berlaku perpecahan undi maka Umno-Barisan Nasional (BN) akan menang," tegasnya.
PAS sebelum ini berulang kali menegaskan tetap mempertahankan
kerusi-kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya sebelum ini, meskipun
parti serpihannya, Amanah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi
yang sama.
No comments:
Post a Comment