Wednesday, March 1, 2017

Industri agama untuk orang kaya Islam

 
Kalau dulu ustaz mengajar dari rumah mereka dan tidak mengharapkan bayaran, kini mereka membahagi-bahagikan murid mereka mengikut kelas sosio-ekonomi


ustaz


Bila saya memikirkannya, kenapa saya patut terkejut? Saya dikongsikan sebuah video memaparkan seorang wanita Islam menjalankan kelas pengajian Al-Quran di langit.

Dia dan beberapa rakan lain menaiki sebuah kapal terbang persendirian dan menceritakan tentang program mereka: berlepas ke awan biru sambil mengadakan kelas mengaji Al-Quran.

Wanita ini mengundang orang ramai yang “mampu” untuk bersamanya. Dan pelanggan yang sudah ada 100 mata markah penerbangan boleh mendapat pengalaman ini dengan percuma!

Adakah perkhidmatan mengajar mengaji Al-Quran ini satu perkhidmatan yang percuma yang diberi kepada segenap lapisan masyarakat? Ia menelan belanja yang banyak.

Sebenarnya, perkhidmatan yang bercirikan agama bukanlah perkara baru. Semasa zaman remaja, saya pernah menghadiri kursus ibadah haji diajar ustaz yang agak terkenal.

Ustaz ini membawa bakal haji ke Mekah dan memberi perkhidmatan ala “tour guide” dan juga tukang baca doa. Kerana kepakarannya dalam ilmu Islam, peluang mendapat haji mabrur (iaitu haji yang diterima Allah) dijamin.

Ini bukan perkhidmatan percuma dan hanya untuk mereka yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit di atas kos haji sendiri.

Jika anda terpaksa mengumpul duit berdekad-dekad untuk menunaikan ibadat haji, memang anda tak mampu membeli haji mabrur!

Itu dulu. Kini, ada pula pakej pelayaran Islam. Pakej ini bernilai antara RM3,000 dan RM4,500 setiap orang. Banyak aktiviti Islam yang dijalankan, termasuk sesi soal jawab agama dengan ustaz “selebriti”.

Inilah secebis kisah daripada industri agama di Malaysia. Kalau dulu ustaz mengajar dari rumah mereka, mempunyai kerja tetap dan mengajar agama secara sambilan tanpa bayaran (seperti dipaparkan karya Lat “Kampong Boy”), sekarang ini pula mereka membahagi-bahagikan murid mereka mengikut kelas sosio-ekonomi.

Adakah ini akan membawa peningkatan dalam penghayatan Islam?

Bagi saya, apabila wang ringgit menjadi faktor penyebaran Islam, nilai kerohaniannya akan menurun.

Mana tidaknya, yang mampu menjadi penumpang jet mewah untuk mengaji Al-Quran bukanlah orang sebarangan. Kalaupun mereka memberi konsesi untuk orang yang tidak mampu, bukankah sumber ini lebih baik dibelanjakan dengan memberi pendidikan percuma untuk lebih ramai orang?

Jika kos untuk seorang menaiki kapal terbang ialah RM5,000, duit ini lebih baik dibelanjakan untuk mengajar 100 orang dengan bayaran RM50 seorang. Strategi ini akan lebih efektif kepada umat Islam daripada pembaziran di atas pesawat peribadi.

Apakah semangat Islam yang sebenarnya? Elok kita membaca Al-Quran untuk mendapat jawapan.

Perhatikan ayat 1-10 dalam Surah ‘Abasa. Dalam pasej ini, hikmah yang boleh kita ambil ialah, kita tidak membelakangkan sesiapa pun dalam penyebaran ilmu. Setiap orang mempunyai potensi menjadi insan yang baik. Kemampuannya dari segi sosio-ekonomi tidak harus menjadi penghalang disampaikan ilmu itu.

Dalam ayat ini, Nabi sendiri ditegur kerana bermasam muka dan berpaling daripada seorang buta, ketika baginda sibuk berbincang dengan pembesar lain.

Apabila dalam pengalaman Islam kita ada faktor sosio-ekonomi, maka semangat kesamaan itu akan luput. Al-Quran beberapa kali menyuruh Nabi sendiri untuk tidak meminta ganjaran daripada umatnya (36:21, 6:89). Jika perbuatan Nabi patut dijadikan tauladan, maka mengapa agamawan menolak sunnah ini? Bukankah mereka yang menyanjung tinggi Sunnah Nabi?

Tiada bekalan tanpa permintaan, begitulah hukum ekonomi. Jika umat Islam tidak meminta perkhidmatan sedemikian, maka penjaja agama Islam tidak dapat mewujudkan bekalan tersebut.

Hakikatnya, umat Islam lebih suka kepada pengalaman yang lebih glamour walaupun ia bersifat dangkal. Contohnya, mereka lebih rela membayar beribu ringgit untuk menaiki kapal terbang dan belajar mengaji daripada belajar Al-Quran dan intipati mesejnya.

Sumber kewangan mereka dibelanjakan ke arah ini walaupun ada rakyat Malaysia yang serba kekurangan. Lebih baik kita berbelanja ke arah yang lebih diredha Allah, seperti menolong anak yatim dan fakir miskin. Itulah tuntutan Al-Quran yang sebenarnya.

No comments: