Wednesday, March 1, 2017

Bekas pengarah besar Felda didakwa seleweng hampir RM50 juta

 
Beliau dan timbalannya masing-masing didakwa meluluskan 2 pembayaran tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda.


datuk
Datuk Faizoull Ahmad

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah besar Felda dan timbalannya Felda hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas dakwaan pecah amanah dana Felda berjumlah RM47.6 juta melibatkan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon.

Datuk Faizoull Ahmad dan timbalannya, Muhammad Sufi Mahbub masing-masing didakwa dengan 2 pertuduhan bersubahat dan 2 pertuduhan pecah amanah.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Sufi, yang merupakan timbalan pengarah besar (Pengurusan Sumber Strategik) Felda, didakwa melakukan pecah amanah terhadap dana Felda dengan meluluskan 2 pembayaran berjumlah RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender, pada 2014.

dato
Muhammad Sufi Mahbub Faizoull didakwa kerana bersubahat dengan Sufi.

Pendakwaan di bawah Seksyen 409 itu membawa hukuman penjara 2 hingga 20 tahun atau denda.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan mereka ikat jamin RM1 juta, dan mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. Beliau menetapkan 27 April 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 24 Jan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Faizoull dan Sufi serta 2 lagi pegawai kanan Felda.

Difahamkan projek penternakan ikan itu diluluskan tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan serta Bahagian Kewangan Felda.

Pada Januari 2014, syarikat Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) ditubuhkan dengan Sufi dilantik sebagai pengarahnya.

No comments: