Sunday, November 6, 2016

UMNO dan Komunis China bersanding, DAP kah yang bersalah?

china malaysia


Oleh Hafiz Zainuddin


Di saat rakyat Malaysia khususnya orang Melayu disuapkan dengan momokan komunis terhadap DAP sejak sekian lama, Presiden UMNO pula menjalinkan hubungan yang sangat intim dengan negara China yang berideologi komunis itu.

Hubungan erat pemerintah UMNO dengan China semakin memuncak dan dilihat jelas dalam lawatan terkini Perdana Menteri Najib Razak ke negara itu saat ini.

Dalam lawatan itu, Najib Razak menandatangani 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion melibatkan ekonomi, pertahanan, pertanian, pendidikan, kewangan dan sektor pembinaan.

Perjanjian itu juga merangkumi penglibatan China dalam pembangunan Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Tindakan Malaysia menandatangani 14 perjanjian yang disifatkan banyak pihak sebagai jual negara kepada China itu bukan dipengaruhi oleh anasir parti-parti pembangkang apatah lagi parti DAP yang sering mendapat nama buruk akibat serangan juak-juak tentera siber UMNO, MCA, MIC, SAPP, Gerakan dan sebagainya. Malah mereka pada saat ini barangkali sedang sakit kepala dengan tindakan Najib itu.

Mereka tidak boleh dengan sewenang-wenangnya lagi mengaitkan DAP dengan komunis kerana telah jelas Pengerusi BN itu sendiri telah menyerah sebahagian milik Malaysia untuk ‘dikerjakan’ China demi kepentingan strategik ekonomi dan pertahanan mereka di rantau ini.

China tak peduli siapa Najib, dia hanya peduli kepentingannya

China tidak peduli tentang label kleptokrasi ke atas Malaysia. China juga tidak kisah menjalinkan hubungan intimnya dengan negara-negara diktator termasuk Korea Utara. China hanya mahu melebarkan lagi pengaruh ekonomi dan politiknya ke atas negara-negara lain khususnya di Asia dalam saingannya dengan Amerika Syarikat.

Sudah tentu, persaingan demi kepentingan strategiknya di rantau ini akan membutakan matanya ke atas penyelewengan kewangan terbesar yang berlaku melibatkan 1MDB. Asalkan, mereka boleh melabuhkan sauh dengan aman di tanah air kita.

Apa yang pasti, ‘dasar pandang ke China’ Najib Razak ini akan memaksa kita, rakyat Malaysia untuk semakin tunduk dengan perluasan serta penguasaan geo-politik dan ekonomi China.

Tindakan menjemput ‘penjajah baru’ ini juga mungkin strategi Najib untuk mengekalkan pengaruh politiknya setelah dilihat gagal melobi Amerika untuk melindungi skandal kewangan terbesar negara abad ini.

Mainan politik fitnah dengan dakwaan DAP sebagai komunis, chauvinis dan jahat tidak lagi mampu untuk menutup kebobrokan dan kemunafikan pemerintah UMNO yang terang benderang bermain mata dengan pemerintah China .

Tambahan pula, DAP semakin disukai ramai dengan penyertaan dan penglibatan rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira warna kulit, darjat, kepercayaan, bahasa dan budaya. Hakikatnya, DAP berpegang kepada ideologi Sosial Demokrasi yang terbina di atas nilai asas kebebasan, keadilan dan setiakawan.

Rakyat Malaysia sudah semakin jelas. Dakyah jahat pencacai dan tentera siber pro-BN yang memfitnah DAP sebagai komunis sudah tidak relevan malah jauh menyimpang daripada kebenaran.

Najib sudah ada ‘abang besar’ China

Kita tidak pasti sejauh mana hubungan Najib dalam ‘dasar pandang ke China’ ini akan berjaya. Apa yang pasti, sebahagian harta milik negara akan dan sudah tergadai di tangan negara komunis tersebut.

Najib kini sudah ada ‘abang besar’ yang akan melindunginya setelah gagal melobi Amerika sebagai pelindung selepas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika membuat pendedahan malah mengambil tindakan saman untuk merampas aset yang diperoleh hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Kita bimbang suatu hari nanti persaingan meluaskan pengaruh geo-politik dan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China bakal memudaratkan keselamatan dan kedaulatan Malaysia.

Pada waktu itu, kita pasti akan tertanya-tanya di mana UMNO dan Najib yang barangkali sudah selamat mempertahankan kepentingan politik dan tembolok mereka sendiri, dan tidak peduli lagi tentang rakyat banyak. – Roketkini.com


No comments: