Anggota parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin memberi masa 48 jam kepada Datuk Seri Jamal Yunos untuk menarik balik dakwaan yang mengaitkan ketua wanita PKR dengan serangan terhadapnya.
Dalam surat tuntutan itu, Zuraida menggesa agar Jamal, ketua kumpulan Baju Merah, membuat permohonan maaf dalam masa ditetapkan.
Jika Jamal tidak berbuat demikian, beliau mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang, kata Zuraida.
"Pada 13 November dia buat dakwaan yang tak benar dan berunsur fitnah. Dan dalam video jelas saya tidak ada di situ kerana itu insiden pergelutan antara Baju Merah dan polis.
"Dia juga memalukan saya dengan tuduhan saya pukul dia. Dia memalukan saya sebagai anggota parlimen dan menjejaskan reputasi saya.
"Dengan itu maka saya minta dia dalam masa 48 jam untuk buat penarikan kata-kata dan mohon maaf pada saya dan bayar apa-apa kos kerugian sewajarnya kerana kerosakan yang dilakukan semalam," kata Zuraida.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Zuraida lagi, pihak peguamnya telah menghantar surat tuntutan tersebut ke melalui faksimili ke pejabat Jamal tengah hari tadi.
Dalam surat tuntutan sama, Jamal turut diminta untuk membayar sejumlah wang ekoran reputasi Zuraida yang telah tercemar berikutan dakwaan yang dibuat ketua Umno bahagian Sungai Besar berkenaan.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Jamal berdarah pada hidungnya selepas dia didakwa diserang dan ditumbuk dalam kejadian di Ampang.
Kejadian berlaku ketika Jamal bersama pengikutnya mengekori Zuraida yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah Ampang Point.
Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya.
Jamal yang jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu memberitahu akan bertindak balas.
"Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan (terhadap BERSIH sebelum ini).
"Saya akan cincang mereka," katanya.
'Dia ancam nak cincang'
Sementara itu, pada esok pula, Zuraida akan membuat laporan polis ekoran ancaman keselamatan oleh Jamal.
"Dia ancam kita nak cincang, ambil darah. Jadi kita akan buat laporan polis esok pukul 10 pagi di Ampang dan di seluruh negara.
"Sudah tiba masanya ketua polis negara bertindak mengurung Jamal yang sangat buas dan berbahaya ini dengan pelbagai siri ugutan," katanya lagi
No comments:
Post a Comment