Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal hari ini mempertahankan haknya sebagai anggota parlimen untuk membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat.
Bercakap kepada media di luar Bukit Aman hari ini bekas naib presiden Umno itu berkata anggota parlimen tidak sepatutnya disoal berhubung apa yang mereka perkatakan di Dewan Rakyat.
"Ia (Dewan Rakyat) adalah tempat bebas bercakap dan berdebat untuk mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, apatah lagi jika isu yang diperkatakan itu boleh menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.
Shafie sebelum itu menghabiskan masa kira-kira sejam untuk memberi keterangan kepada polis berhubung ucapan ketika membahaskan belanjawan 2017 pada 25 Oktober lalu.
Dalam ucapannya Shafie yang kini berada di blok pembangkang Dewan Rakyat menyentuh pelbagai isu dalam syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.
Ketika membangkitkan isu itu Shafie mempertikaikan pulangan yang diperolehi negara daripada pelaburan kerajaan ke atas firma berkenaan.
"Apa pulangan pelaburan yang kita dapat daripadanya. Ini yang kita nak tanya.
"Amalan ini perlu dipersoalkan kerana ia memberi kesan kepada perolehan negara," katanya.
Turut menyentuh isu 1MDB dalam ucapan masing-masing ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Muhyiddin kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) manakala Ahmad Husni masih mengekalkan keanggotaannya dalam Umno walapun meletak semua jawatan dalam parti berkenaan.
Ekoran ucapan berkenaan Shafie, Muhyiddin dan Ahmad Husni dikehendaki memberi keterangan kepada Bukit Aman mengikut Akta Rahsia Rasmi.
Mereka didakwa mungkin sudah melanggar sumpah kerahsiaan dengan membuat kenyataan di parlimen.
Kata Shafie tindakan polis menyiasat mereka kerana ucapan di Dewan Rakyat boleh disifatkan sebagai ugutan ke atas hak wakil rakyat.
"Memanglah tetap ada syarat tertentu (ke atas anggota parlimen berucap) seperti hal ehwal raja-raja serta hak-hak tertentu," katanya.
Namun katanya beliau sedar mengenai batasan berkenaan dan ia tidak akan disentuh.
"Kita tahu apa yang menghasut, apa yang tidak," katanya.
No comments:
Post a Comment