PUTRAJAYA: Penjawat awam diingatkan tidak menyertai sebarang kumpulan
atau perhimpunan di ibu negara, Sabtu ini, atau berdepan tindakan
tatatertib, termasuk dibuang kerja atau potong gaji.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa yang memberikan
amaran itu berkata, bentuk tindakan yang akan diambil ke atas penjawat
awam terbukti terbabit dalam perhimpunan tidak sah hujung minggu ini
bergantung kepada tahap penglibatan mereka.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil
tindakan terhadap penjawat awam, jika gambar mereka terlibat dalam
perhimpunan itu disiarkan media.
“Kalau ada (penjawat awam) yang jadi pemimpin, tindakan yang dikenakan
berbeza daripada yang lain (penjawat awam yang menjadi peserta).
Tindakan akan diambil berdasarkan gambar serta aduan yang diterima,”
katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Puspanita Kali Ke-4, hari
ini.
Beliau berkata, lazimnya penjawat awam tahu mereka tidak boleh
menyertai mana-mana perhimpunan haram dan beliau berharap mereka akan
mematuhi peraturan itu.
Bersih yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka,
adalah sebuah pergerakan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di
Malaysia dan merancang menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini di
tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, gerakan Baju Merah mendakwa Bersih bertujuan menggerakkan
agenda asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan mengugut akan
menganjurkan perhimpunan balas di tempat, hari dan waktu sama.
Pada 8 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
berkata, kedua-dua notis yang dihantar penganjur Bersih 2.0 gagal
memenuhi prasyarat Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk menganjurkan
perhimpunan pada Sabtu ini.
Selasa lalu, polis memberi amaran akan menggunakan semburan air dan gas
pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Baju Merah dan Bersih.
No comments:
Post a Comment