Sunday, November 20, 2016

Pemuda Umno jangka isu Mahathir jadi tumpuan PAU 2016

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menjangkakan isu membabitkan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi tumpuan perwakilan menjelang perhimpunan tahunan parti itu akhir bulan ini.
 
Ujarnya tidak mustahil perkara itu boleh berlaku kerana masih ada ahli yang setia dan menyokong bekas presiden parti itu atau paling parah mereka adalah 'musuh dalam selimut’.
 
“Banyak tumpuan mengenai pilihan raya umum akan datang termasuk isu mengenai Dr Mahathir.
 
“Kita perlu tegaskan bahawa beliau tidak lagi bersama kita, dan perlu lawan beliau serta sesiapa sahaja yang tidak bersama kita,” katanya yang dipetik The Star menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 yang bakal berlangsung mulai 29 November hingga 3 Disember ini.
 
Khairy berkata, sayap parti tidak akan memandang ringan mengenai Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Tambahnya, lebih membimbangkan apabila generasi muda mempunyai pemahaman terpesong walaupun mereka tidak dilahirkan semasa kepimpinan Dr Mahathir.
 
“Anak-anak muda di media sosial kata mereka merindui zaman Dr Mahathir. Mereka tidak dilahirkan pun ketika itu, jadi saya tidak faham apa yang mereka rindukan. Mereka lebih terdedah dengan mengaitkan Dr Mahathir dengan Menara Kembar dan Putrajaya.
 
“Malangnya rekaan mengenai Dr Mahathir ini dicipta semasa beliau menjadi sebahagian Umno sehingga generasi baru merasakan beliau tidak bersalah. Inilah kesannya. Kita perlu berusaha menangani perkara ini,” katanya.
 
 
 

No comments: