Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Jika
mengikut sifir politik Tun Mahathir Mohamad, PAS perlu memilih untuk
bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) atau dijadikan 'pariah politik' kerana "makan dedak".
Sehubungan
itu, Pengerusi PPBM itu menegaskan kesediaan partinya menentang PAS
jika ia tidak menyokong gerakan pembangkang mahu menjatuhkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, PH yang merangkumi PKR, DAP dan Amanah harus diberi
sokongan penuh menjatuhkan Najib dan mendakwa parti politik yang enggan
turut serta mungkin sudah termakan 'dedak'.
"Sebab itu kita akan menentang sesiapa yang tak sertai gerakan jatuhkan
Najib," kata Mahathir pada Konvensyen kali pertama Pakatan Harapan di
IDCC, Shah Alam, Sabtu lalu.
"Sesiapa yang menimbulkan masalah dalam PH adalah orang Najib. Mereka
sebenarnya menyokong Najib dan ada besar kemungkinan dapat dedak," kata
Dr Mahathir.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar Jun lalu,
Dr Mahathir secara terbuka mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang sudah 'nampak' dedak yang mendorongnya mahu bekerjasama dengan
Najib.
Walaupun Dr Mahathir tidak merujuk kepada PAS mahupun Hadi secara
langsung, tetap kali ini beliau tegas mengatakan pihak yang enggan
turut serta menjatuhkan Najib "menerima dedak atau rasuah".
PAS tolak gerakan jatuhkan Najib selain pilihan raya
PAS sebuah parti pembangkang utama dilihat masih belum menunjukkan
keghairahan untuk bekerjasama dengan PH demi memastikan saingan 'satu
lawan satu' menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Pada masa sama, PAS menolak cubaan untuk menjatuhkan Najib di luar
kerangka sistem pilihan raya umum, seperti tunjuk perasaan anjuran
BERSIH yang disokong oleh PH.
Dalam isu kononnya PAS enggan bekerjasama dengan PH kerana 'bermusuh'
dengan DAP dan Amanah, Dr Mahathir berkata, masalah itu adalah 'terlalu
kecil' dan beliau juga pernah memusuhi pemimpin PH.
"Jangan cakap kami tak setuju dengan PH sebab ada DAP dalamnya. Bukan kerana itu. Saya dahulu musuh ketat Lim Kit Siang.
"Saya juga musuh ketat beberapa tokoh lain dalam parti lain tapi
permusuhan itu perkara kecil berbanding usaha untuk jatuhkan musuh
terbesar iaitu Najib," kata Dr Mahathir.
Sikap lantang Mahathir ini bukan baru. Rekod politiknya menunjukkan
bahawa beliau sering mengambil sikap bahawa sesiapa sahaja yang
menghalang cita-cita dan rencana politiknya akan menjadi musuhnya.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang pernah merasai sendiri 'kemarahan' politik
Mahathir dan bersama pemimpin DAP lain seperti mendiang Karpal Singh
pernah ditahan di bawa Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).
Begitu juga dengan 'anak emasnya' Datuk Seri Anwar Ibrahim. Meskipun
kombinasi di antara beliau dengan Anwar dianggap terbaik untuk Malaysia,
apabila Anwar bersilang pendiriannya dengannya, Anwar dipecat dan
diaibkan.
Sikap diktator politik Mahathir tak gentarkan PAS
Bagaimanapun keadaan kini agak berbeza. Kuasa memerintah tidak lagi
berada di tangannya. Usaha PPBM untuk menjalin kerjasama dengan PAS
masih belum berhasil setakat ini.
Namun sikap politik Mahathir tetap tidak berubah. Meskipun parti
barunya masih belum mampu membuktikan apa-apa di segi politik, Mahathir
sebagai Pengerusi PPBM, sudah bersedia menentang PAS jika enggan
bekerjasama.
Sikap politik ala 'gedebe' ini boleh dibandingkan dengan pendirian
bekas presiden Amerika Syarikat, George Bush yang memberi kata dua pada
mana-mana negara yang tidak menyokong usaha menentang keganasan, adalah
musuh negaranya.
Yang menariknya, PAS seolah-olah sedikitpun tidak 'terusik' dengan
sikap 'diktator politik' Mahathir itu. Malah PAS kini nampaknya agak
tenang dan jelas tujuan perjuangannya.
Memang penyertaannya dalam politik Malaysia adalah kerana memerintah.
PAS mahu menang pilihan raya. Namun setelah bekerjasama dengan banyak
pihak beberapa kali, PAS lebih rela melaksanakan tugas hakikinya.
Ini dimaktubkan Allah: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan
umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan
mencegah daripada yang mungkar. Mereka itulah orang yang beruntung." (Al
Imran: 104).
Keuntungan yang PAS dambakan adalah lebih besar daripada kuasa
memerintah negara. Namun PAS tidak mahu mengabaikan tawaran Allah sebab
itu meskipun belum berkuasa ia masih berusaha menasihati pemerintah.
Pendirian ini amat dikesali oleh musuh-musuh PAS seperti Amanah dan
komponen PH lain. Ada yang mengutuk dan menyindir PAS sudah termakan
dedak Umno-BN . Namun bagi PAS itu hanya tohmahan.
Yang mahu dianjurkan PAS ialah taat pada perintah Allah: “Dan janganlah
kamu menyerupai orang yang bercerai berai dan berselisih setelah datang
keterangan yang jelas kepada mereka iaitu orang mendapat seksaan yang
berat” (Al Imran: 105).
Umat Islam di Malaysia kini semakin diracik oleh politikus yang
mewakili banyak parti politik baru mempunyai matlamat untuk berkuasa.
Pelbagai alasan dicanangkan kononnnya untuk melakukan reformasi di
negara ini.
Bagaimanapun PAS akur apabila "dipinjamkan kuasa oleh Allah", banyak
perkara kebajikan yang dijanjikan kepada rakyat tidak dilaksanakan.
Malah obsesi golongan ini lebih tertumpu mempertahankan kuasa dan
melumpuhkan lawan.
Justeru politik kiasu atau gedebe Mahathir tidak menjejaskan i’tikad
politik PAS. Walau digertak akan berhadapan dengan parti pimpinan
Mahathir sekalipun atau difitnah dengan tuduhan diberi 'dedak', PAS
tidak latah.
PAS tidak latah
Kini PAS masih ada hubungan tahaluf siayasi dengan PKR. Bagaimanapun
kebelakangan ini PKR juga mengungkit betapa sudah beberapa kali
'dikhianati oleh PAS'. Pun PAS masih tidak latah.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, partinya bersikap terbuka untuk
bekerjasama dan membuka pintu rundingan bagi mengukuhkan pembangkang.
Namun katanya, sebagai parti berasaskan Islam dan mempunyai pengalaman
luas dalam politik serta pilihan raya di negara ini, PAS tidak akan
mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam.
Menurutnya, PAS berpandangan tahaluf siyasi yang mahu dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam.
"PAS telah menyediakan platform kerjasama yang dipimpin oleh Islam
melalui blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang kini telah disertai IKATAN
dan BERJASA.
PRU14, pintu kerjasama sentiasa terbuka dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam.
"Tawaran kerjasama ini juga terbuka kepada parti-parti bukan Islam yang bersedia dipimpin oleh Islam," katanya.
Hashim berkata, bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat mengingatkan bahawa jika Umno menerima Islam, pihaknya bersedia
membubarkan PAS.
"Pihak menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama
dengan PAS, kecuali mereka berubah sikap untuk menerima Islam sebagai
pemimpin dalam kerjasama ini, katanya.
Mahathir boleh melalak dan menggertak PAS. Namun di sinilah letak
perbezaan parti politik yang bertunjangkan akhlak agama dengan seni
politik Machiavelli yang hanya mahu menang dengan mengugut dan
memfitnah.
No comments:
Post a Comment