KOTA BHARU: PAS tidak akan termakan perangkap yang mahu parti Islam itu
menyertai BERSIH 5, sekalipun untuk membuktikan kesungguhan dalam
kerjasama bersama pembangkang PRU14 nanti.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun PAS
bersedia berbincang mengenai kerjasama satu lawan satu, namun keputusan
untuk tidak menyertai BERSIH tetap tidak akan berubah.
“Kita sudah beritahu sebelum ini kita tidak akan sertai BERSIH. Jangan
perangkap kita kononnya kalau nak bersatu, kena sertai BERSIH.
"Tidak, kita tidak akan sertai BERSIH,” katanya yang dipetik Sinar Harian hari ini.
Terdahulu beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi
Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwa
mencabar PAS menyertai BERSIH 5 jika parti itu serius untuk mengadakan
kerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRU nanti.
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan ketetapan yang jentera PAS tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5.
Beliau berkata, walaupun PAS menyokong beberapa tuntutan yang dibuat
BERSIH, namun parti itu mempunyai agenda yang lebih besar yang perlu
difokus kini.
“Kita mahu tukar sistem, bukan sekadar tukar orang. Bagi kita, agenda yang selaras dengan dasar parti kita, kita akan sokong.
"Kita ucapkan terima kasih kerana buat tuntutan tersebut dan PAS kini
sedang fokus untuk membuat perubahan melalui sistem demokrasi,” katanya.
No comments:
Post a Comment