Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata parti tidak boleh memandang ringan akan serangan itu kerana ia tidak hanya datang dari musuh tradisi Umno, malah daripada bekas-bekas rakan seperjuangan Umno sendiri.
"PRU akan datang merupakan PRU paling sengit dan akan menjadi penentu hidup matinya Umno dan kita perlu pertahankan parti ini lebih-lebih lagi pada saat ini, di mana kita berhadapan dengan cabaran yang berterusan.
"Umno pada hari ini menjadi bahan kritikan dan senda, yang menyerang kita bukan hanya musuh tradisi politik tetapi yang menyerang kita juga ialah mereka yang pernah bersama-sama dengan kita, menjadi sebahagian daripada kita, memimpin kita dan tahu cara kita bergerak, beroperasi dan berfikir," katanya.
Mohamed Khaled yang juga menteri besar Johor berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian persidangan tahunan veteran Umno bahagian-bahagian Johor 2016 yang dihadiri lebih 300 veteran di Johor Bahru hari ini.
Mohamed Khaled berkata jika Umno gagal membuat perancangan dan tidak bersiap sedia menghadapi PRU dari sekarang, maka ia mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk kehilangan kuasa.
"Kita patut rasa bimbang kerana yang menyerang kita ini bukan calang-calang orang, oleh itu kita perlu merancang, kerana kalau kita tidak merancang, kita akan gagal.
"Justeru itu, semua anggota Umno Johor perlu memastikan bahawa parti ini kekal relevan, bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga bagi masyarakat bukan Melayu," katanya.
Demi memastikan parti kekal relevan, beliau memberi saranan agar Umno mengambil langkah proaktif untuk memperkasa dan memperjuangkan Islam bagi menyatupadukan semua orang Melayu di negara ini.
Katanya, penyatuan ini penting kerana masa depan Umno terkait dengan cara anggotanya memperjuangkan politik Islam namun kaedah perjuangan itu tidak semestinya perlu 'bersatu' dengan PAS.
"Kita boleh mencontohi pentadbiran negara-negara Islam di luar dalam aspek terbabit.
"...Pengundi memilih Umno bukan kerana faktor sentimental tetapi berdasarkan keupayaan parti untuk menunaikan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat," katanya. Bernama
No comments:
Post a Comment