Tuesday, November 15, 2016

Malaysia perlu keluar dari TPPA sekarang

MOHD AZMI ABDUL HAMID 



 

KAMI mengesa supaya kerajaan Malaysia keluar dari perjanjian TPPA sekarang. Ketidaktentuan status TPPA akibat Presiden US Donald Trump menyatakan beliau berpendirian menolak TPPA dalam kempennya, menyebabkan perjanjian itu kini mungkin terkubur.

Kami berpendapat bila PM Datuk Seri Najib berkata TPPA tidak boleh dilaksanakan tanpa US kerana US menguasai 60% dari perdagangan negara-negara TPPA, jelas menunjukkan bahawa TPPA benar-benar dibawah telunjuk US.

Setelah Malaysia menandatangani TPPA dikala rakyat menolaknya, dan kini dalam tahap melaksanakan ratifikasi undang-undang negara, adalah lebih selamat Malaysia mengisytihar keluar dari TPPA sekarang.

Tidak guna Malaysia masih menunggu keputusan Presiden US sedangkan jelas US bertujuan mengukuhkan ekonominya yang bermasalah dan TPPA tidak dilihat membantu US keluar dari kelembapan ekonomi yang sedang dialaminya.

Langkah yang paling tepat dan bijak ialah Malaysia tidak perlu menunggu keputusan US. Segala proses menyesuaikan undang-undang negara agar diselarikan dengan TPPA sepatutnya dihentikan.

Malaysia tidak wajar diikat dengan sebuah perjanjian yang tidak menentu kesannya dan tidak menentu sejauh mana ia memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Menggadai negara dengan menundukkan kedaulatan kepada sebuah perjanjian yang tidak tentu membawa manfaat, malah mendedahkan negara kepada risiko diheret ke mahkamah tribunal perdagangan dunia, bakal membawa petaka kepada ekonomi Malaysia.

Kami berpendapat tidak terlambat untuk Malaysia mengisytihar keluar dari perjanjian TPP itu dan memberi fokus mengukuhkan perdagangan yang tidak melibatkan negara terikat kepada syarat-syarat yang boleh menghilangkan kedaulatannya. – HARAKAHDAILY

No comments: