KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri
Mustapa Mohamed berkata Malaysia akan berbincang dengan negara-negara
anggota Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) susulan kemenangan
Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), semalam.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen semalam, Mustapa berkata
perbincangan itu bagi menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil
oleh semua negara anggota perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang
analisis dan kemenangan Trump itu tidak seharusnya menimbulkan keadaan
panik dalam kalangan rakyat dan ahli perniagaan negara ini.
"Kalau mengikut reaksi awal daripada kemenangan Trump, memang ada
menunjukkan kesan terhadap keyakinan terhadap ekonomi dunia dan proses
globalisasi kerana beliau dilihat sebagai seorang yang anti globalisasi.
"Tapi itu semua persepsi semasa kempen beliau. Kalau kita buat analisis
hanya berdasarkan kempen, sudah tentu kita akan membuat analisis yang
salah kerana sesetengah pemimpin menyatakan pendirian yang berbeza
semasa kempen untuk mendapatkan undi," kata Mustapa semalam.
Beliau percaya tidak akan ada banyak perubahan dari segi hubungan
perdagangan dan diplomatik antara Malaysia dengan AS kerana negara
tersebut banyak mendapat faedah menerusi sistem keterbukaannya.
"Itu telah menjadi tradisinya dan untuk mereka membuat perubahan
radikal dengan beralih kepada sistem tertutup, saya rasa Amerika tahu ia
adalah satu langkah yang merugikan.
"Pastinya akan ada perubahan dasar tapi pada pandangan saya tidak ada
perubahan yang radikal. Sebab itu saya fikir tidak perlu terburu-buru.
Tidak semestinya 100 peratus kenyataannya sebelum ini diterjemahkan
kepada dasar," katanya.
Dua belas negara yang menganggotai TTPA ialah Australia, Brunei,
Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika
Syarikat, Vietnam dan Malaysia.
Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata
pilihan yang telah dibuat oleh rakyat Amerika itu wajar dihormati.
"Bagaimanapun, satu perkara yang mungkin kita akan berikan perhatian
ialah berkaitan TPPA di mana Trump secara langsung dalam kempennya
memberitahu yang beliau tidak akan teruskan perjanjian itu.
"Ini kena tunggu dan lihat kerana ini mungkin satu perkara yang akan membawa perubahan dalam kerjasama ekonomi," katanya.
Subramaniam berharap agar Trump akan terus memainkan peranan yang baik
membawa keamanan kedamaian kepada dunia keseluruhannya dan meneruskan
peranannya dalam membantu negara lain dari aspek pembangunan.
No comments:
Post a Comment