Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan beliau
berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan Syarikat Pengeluar
Air Selangor (SPLASH).
Khalid
berkata demikian menepis dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali semalam bahawa beliau yang mula menawarkan jumlah RM2.975
bilion dalam usaha kerajaan negeri memgambilalih syarikat konsesi air
berkenaan.
Mantan menteri besar itu kemudiannya menyifatkan dakwaan Azmin itu
sebagai khianat, dalam cubaannya mengalihkan kontroversi bayaran
setinggi RM2.7 bilion.
"Kerajaan negeri Selangor di antara 2008 dan 2014 tidak pernah
menawarkan RM2.975 bilion untuk mengambil alih ekuiti syarikat konsesi
air Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) seperti yang didakwa oleh
Menteri Besar Selangor semalam.
"Dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, adalah tidak
benar, mengelirukan dan cubaan jelas untuk mengalihkan perbincangan
mengenai keputusan pentadbiran beliau untuk membayar ekuiti SPLASH
RM2.7billion iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal berjumlah
RM250.6 juta," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bukan itu sahaja Khalid turut menolak dakwaan beliau kononnya gagal
memaklumkan sebarang urusan rundingan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMKN).
"Di samping itu, pejabat Menteri Besar yang saya terajui sering
mengadakan sidang akhbar setiap kali ada perkembangan baru dan telah
mengeluarkan ratusan kenyataan media berkenaan air. Kami juga
menganjurkan siri taklimat untuk ADUN dan Ahli Parlimen yang juga telah
mengambil bahagian dalam taklimat awam diseluruh Selangor untuk memberi
kesedaran kepada rakyat tentang isu rakyat.
Kami juga telah memberi pembentangan komprehensif kepada Dewan Negeri
Selangor dan saya yakin pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam
penyediaan pembentangan juga akan bersetuju.
"Ini agak bertentangan dengan amalan kerajaan negeri hari ini yang
tidak mahu meneruskan amalan positif ini dan hasilnya rakyat hanya
diberitahui hari ini bahawa kerajaan negeri telah pun membuat keputusan
untuk membayar RM2.7 billion kepada SPLASH seperti yang disahkan oleh
Exco negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib yang juga telah membayangkan
bahawa jumlah tersebut telah ditolak oleh Kementerian Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air," demikian tegas Khalid.
Khalid juga menyatakan asas disebalik bayaran pampasan yang diberikan
kepada empat syarikat konsesi air yang lain yang dilakukan melalui
Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Khalid ikut Perjanjian Penswastaan Air
Dalam tawaran terakhir, merujuk kepada SPLASH, kerajaan negeri ketika
ditadbir Khalid menggunakan kaedah pembayaran ekuiti berdasarkan
pulangan 12 peratus setahun kepada ekuiti serta potongan mana-mana
dividen yang telah dibayar, sebagaimana dinyatakan di dalam Perjanjian
Penswastaan Air yang ditandatangani oleh semua syarikat konsesi termasuk
SPLASH.
Malah bertegas RM250 juta yang sepatutnya dibayar kepada SPLASH adalah
nilai yang munasabah yang jelas tidak akan membazirkan wang rakyat.
"Kami tidak pernah bercadang pada bila-bila masa untuk membayar RM2.9
billion hanya untuk bayaran ekuiti SPLASH seperti yang didakwa oleh
Menteri Besar. Walaupun kita menggunakan beberapa kaedah penilaian yang
berlainan, nilai ekuiti tidak banyak berbeza. Dalam tawaran terakhir,
kami merasakan tawaran yang berpatutan untuk Splash adalah RM250.6juta
untuk bayaran ekuiti serta menanggung hutang sejumlah RM1.564 billion.
"SPLASH mempertikaikan tawaran mengambil alih ekuiti berdasarkan 12%
ROE setahun serta pemotongan pembayaran dividen. Pada hakikatnya SPLASH
telah membayar RM725.4 juta kepada pemegang sahamnya sebagai dividen
manakala SYABAS tidak pernah mengeluarkan dividen dan inilah sebab utama
mengapa nilai pembayaran ekuiti antara kedua-dua syarikat itu sangat
berbeza," ujarnya lagi.
Sehingga kini hanya SPLASH enggan menerima tawaran daripada kerajaan
negeri berikutan tidak bersetuju dengan jumlah pampasannya.
Sementara itu Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas
Tani, Zaidy Abdul Talib berkata kerajaan negeri bersedia menimbang
pembayaran sekitar RM2.7 bilon itu namun jumlah sebenar pampasan itu
akan tertakluk kepada persetujuan kerajaan pusat dan syarikat konsesi
air itu sendiri.
No comments:
Post a Comment