Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa Syarikat Pengeluar Air
Selangor (SPLASH) mengeluarkan invois pembelian air dengan mengekalkan
harga yang lebih mengikut terma perjanjian, walaupun kerajaan Pusat dan
kerajaan negeri telah bersetuju untuk tiada kenaikan tarif air.
Mantan Menteri Besar Selangor itu berkata, 'ketirisan' yang berlaku
ekoran tindakan syarikat konsesi itu mengakibatkan rakyat Selangor
dibebankan dengan hutang air yang tidak sepatutnya dibayar mereka.
"Persetujuan (antara pusat dan negeri) itu termaktub dalam terma 'kadar perkhidmatan pukal' (bulk service rate).
"Saya difahamkan kerajaan Selangor, SPAN dan PAAB membiarkan kadar
perkhidmatan pukal yang tinggi profit marginnya diteruskan walaupun
penyusunan semula sudah dilaksanakan.
"Rakyat Selangor wajar mempersoalkan kenapakah kerajaan Selangor
bertindak membiarkan SPLASH meraih keuntungan besar dalam akaunnya
padahal kerajaan Selangor ada kuasa untuk mengubah 'kadar perkhidmatan
pukal', bukan memberi keuntungan 30% atau 40% - tetapi hanya 6-8%?,"
katanya menerusi satu kenyataan.
Oleh itu menurut Khalid, tindakan PAAB dan SPAN membiarkan ketirisan sedemikian berlaku amat menimbulkan persoalan.
"Rakyat Selangor perlu jawapan. Saudara YB Menteri Tenaga Teknologi
Hijau dan Air perlu memberi penjelasan untuk menentukan tidak ada 1
bilion atau 2 bilion ataupun 3 bilion sebagai bayaran tambahan.
"Ini adalah kerana bayaran ini kelak sangat memberi kesan dan
membebankan rakyat Selangor dengan kenaikan tarif air," ujar ADUN
Pelabuhan Kelang itu lagi.
Justeru Khalid menggesa amalan membiarkan 'kadar perkhidmatan pukal'
diteruskan dengan kadar yang tidak berubah perlu diberhentikan serta
merta.
Penstrukturan semula industri air Selangor masih belum bernoktah ekoran
percanggahan kenyataan antara Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali dan
Khalid mengenai nilai tawaran untuk mengambil alih ekuiti SPLASH.
Azmin sebelum ini mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan
Khalid menawarkan RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH,
namun ia dinafikan Khalid.
Sebaliknya, Khalid menegaskan tawaran akhir yang dibuat pihaknya kepada SPLASH adalah RM250.6 juta sebagai bayaran ekuiti.
No comments:
Post a Comment