Tuesday, November 8, 2016

Jangan lindungi jenayah pemimpin UMNO dengan Akta Rahsia Rasmi – Tun M

kit siang mahathir




 Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Akta Rahsia Rasmi seharusnya digunakan untuk memelihara rahsia dasar-dasar kerajaan, dan bukannya disalahguna bagi melindungi jenayah yang dilakukan oleh pegawai-pegawainya.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang mengetahui tentang sebarang salah laku pegawai kerajaan, untuk melaporkannya.

“Tapi sekarang, mereka tidak boleh lapor. Jika mereka laporkan, akan ditahan polis dan didakwa atas undang-undang yang tidak berasas.

“Padahal kebebasan perlu ada (untuk wakil rakyat melapor). Barulah rakyat dapat peluang untuk luahkan rintihan dan perasaan tak senang mereka kepada kerajaan,” katanya dalam mesyuarat khas berkaitan hak dan kekebalan Parlimen tadi.

Penasihat Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu berkata demikian sebagai mengkritik tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin yang menuduh tiga bekas menteri melanggar Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan, kerana mengkritik 1MDB di Parlimen.

Tiga individu berkenaan adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut Tun, Speaker haruslah bertindak seperti hakim yang adil dan tidak boleh berat sebelah dalam setiap keputusannya.

“Tetapi Speaker sekarang bukan setakat keluarkan ‘fatwa’, tetapi menghalang debat berkenaan perkara-perkara yang tak disenangi pihak kerajaan. 

“Jika itu pun disekat, tak adalah demokrasi. Kita ini berada di bawah pemerintahan kuku besi. Luar (dewan) tak boleh cakap, dalam (dewan) tak boleh cakap. Ini bukan cara demokrasi,” tegasnya. – Roketkini.com


No comments: