shahbudindotcom
Beberapa
jam setelah Hadi Awang mengeluarkan kenyataan pada 2 November lalu
bahawa Pas kini terbuka kepada perundingan satu lawan satu dengan
parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya
umum akan datang, ia segera mendapat reaksi positif daripada PPBM.
Presiden
PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan
perbincangan dengan Pas dalam tempoh terdekat bagi tujuan tersebut.
Pas telah menyatakan persetujuan ke arah itu serta tarikh pertemuan juga sudah ditetapkan, kata Muhyiddin lagi.
Dalam
masa yang sama, Muhyiddin juga memberitahu, PPBM turut dijemput
menghadiri mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dalam
tempoh terdekat ini.
Pada
tarikh 2 November itu juga adalah hari PPBM mengumumkan barisan
pimpinan tertingginya dan mengadakan mesyuarat khas buat kali pertama di
Yayasan Kepimpinan Perdana.
Difahamkan,
dalam mesyuarat itu Muhyiddin telah memaklumkan keinginan Hadi untuk
mengadakan perbincangan bagi tujuan kerjasama dan tarikh yang telah
ditetapkan untuk beliau bertemu Presiden Pas itu ialah pada 8
November ini.
Dalam
mesyuarat itu juga diputuskan bahawa pada pertemuan pertama ini ia
hanya perlu melibatkan Muhyiddin dengan Hadi saja, kemudian baru
disusuli dengan perbincangan yang mungkin melibatkan antara lapan hingga
sepuluh pimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Ternampak
bahawa sebelum Hadi mengeluarkan kenyataan "sudah lama membuka pintu
untuk satu lawan satu", parti itu turut mengorak langkah yang seiring ke
arah perbincangan dan perundingan.
Mungkin
selepas ini Pas akan turut mengadakan perbincangan dengan PKR dengan
tujuan yang sama. Walaupun terlihat sukar untuk Pas mengadakan
perundingan dengan Amanah dan seperti menutup pintu untuk berbincang
dengan DAP, jalinan kerjasama dengan PPBM dan PKR sekurang-kurangnya
sudah memadai untuk merealisasikan formula satu lawan satu.
Ini
kerana Pas tidak mungkin bertembung dengan DAP kerana kedua-duanya
bertanding di kawasan yang berbeza. DAP tidak mengacau kerusi Pas selama
ini dan sekiranya Pas setuju tidak mengganggu kerusi DAP, masalah
kedua-duanya boleh dianggap selesai meskipun tidak mahu bertemu dan
berunding.
Kalau
pun barangkali timbul masalah ialah kerusi untuk Amanah, tetapi dengan
Amanah merupakan komponen Pakatan Harapan, jalan tengah masih boleh
diusahakan.
Sekali
lagi, moga-moga Pas kekal istiqamah dan tidak berubah-ubah. Diharapkan
juga tiada lagi kenyataan-kenyataan seperti "Pas ingin menjadi kuasa
ketiga dalam negara", "Pas mahu bertanding di kerusi-kerusi DAP" atau
"Pas menolak untuk bekerjasama bagi menjatuhkan Najib dan kerajaan".
No comments:
Post a Comment