OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM: Keadaan tenang dalam sidang Dewan Negeri Selangor
(DNS) bertukar tegang apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang,
Dato’ Teng Chang Khim ‘bertikam lidah’ dengan beberapa ADN pembangkang
dari Barisan Nasional (BN).
Ia ekoran isu 13 Mei 1969 dibangkitkan ADN Permatang, Dato’ Sulaiman
Abdul Razak yang didakwa beliau dicetuskan DAP hingga menimbulkan
kemarahan Exco Kerajaan Negeri yang menyatakan kenyataan itu menyalahi
peraturan DNS dan melabelkannya ‘bodoh’.
Sulaiman membangkitkan perkara itu untuk dijawab Exco Generasi Muda,
Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, selepas
soalan dikemukakan ADN Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari sebelumnya
didakwa mengaitkan Umno sebagai parti pelopor fahaman politik sempit.
Ekoran itu, tercetus suasana tegang dan kecoh dengan Sulaiman dan
beberapa ADN pembangkang antaranya Dato’ Shamsuddin Lias (Sungai
Burung), Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali), Dato’ Amiruddin
Setro (Jeram) dan Shahrom Mohd Sharif (Dengkil) menyerang Chang Khim
dengan perkataan hampir sama.
Keadaan tegang dan kecoh berlaku mendapat perhatian Speaker, Hannah
Yeoh yang meminta semua ADN bertenang dan menarik balik semua pertanyaan
juga perkataan digunakan.
“Diam
semua, sabar, biar saya bertenang dulu. Saya minta Permatang tarik
balik pertanyaan tadi dan kemudian Sungai Pinang juga tarik balik
perkataan bodoh,” katanya.
Walaupun ADN pembangkang agak keberatan, namun akhirnya akur selepas
Speaker memberi jaminan akan mengarahkan Chang Khim melakukan perkara
sama.
“Speaker tidak benarkan, baik saya gugurkan pertanyaan itu,” kata Sulaiman.
“Puan Speaker, saya menarik balik perkataan bodoh digunakan dan
memaafkan sesiapa yang gunakan perkataan itu tetapi tidak mahu menarik
balik,” kata Chang Kim.
“Saya menarik balik perkataan bodoh juga kerana yang mulakan Sungai Pinang, saya maafkan Sungai Pinang,” kata Shahrom.
ADN pembangkang lain juga diminta Speaker berbuat perkara sama dan tidak membenarkan ADN Sekinchan, Ng Suee Lim untuk mencelah.
“Kalau nak marah ADN, jangan sampai marah ahli keluarga ADN,” kata
Yeoh selepas Shamsuddin menarik balik perkataan ‘kepala bapa bodoh’ dan
memaafkan Sungai Pinang.-AA-
No comments:
Post a Comment