Beliau berkata, tindakan kerajaan meletakkan laporan itu sebagai rahsia dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) membangkitkan keyakinan masyarakat bahawa wujudnya unsur rasuah, penyelewengan dan perbuatan mencuri wang 1MDB yang dilakukan oleh satu ‘pakatan jahat’ negara dibawah kepimpinan Najib.
Mahfuz turut mempersoalkan tindakan Najib yang mengarahkan siasatan audit dilakukan sekiranya laporan berkaitan perkara itu kemudiannya dirahsiakan.
“Untuk apa audit dilakukan ke atas 1MDB kalau tidak boleh dimiliki dan diketahui rakyat Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mahfuz juga berkata, Najib turut mengarahkan suatu audit khas dijalankan oleh Ketua Audit Negara dengan meminta semua pihak bersabar menunggu laporan audit selesai.
Namun, beliau berkata apabila pengauditan selesai dijalankan, Najib dengan tiba-tiba mengklasifikasikan laporan tersebut sebagai rahsia rasmi dibawah Akta Rahsia Rasmi.
“Jika perdana menteri yakin yang laporan tersebut tiada unsur rasuah dan penyelewengan mencuri wang 1MDB yang membabitkan dirinya sendiri apa keperluan untuk dirahsiakan? Kenapa perlu takut untuk dedahkan kepada umum?” soal Mahfuz.
“Lebih baik dari awal tidak di audit dan apakah perkara yang nak dirahsiakan dari pengetahuan umum,” ujarnya sambil mencabar Najib untuk menjadikan dokumen laporan audit 1MDB dibuka untuk tetapan umum.
Kata Mahfuz lagi, jika laporan tersebut tidak menjadi dokumen rahsia, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli tidak dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1MDB pada Mac lalu.
“Rafizi dikenakan sabitan jenayah dan hukuman penjara hanya kerana berani mendedahkan penyelewengan dana kerajaan sebaliknya mereka yang terlibat seperti Riza Aziz dan Jho Low dalam salah laku 1MDB membabitkan wang rakyat terus ‘bebas merata’,” tegas Mahfuz.
Mahfuz mendakwa, tindakan kerajaan merahsiakan laporan audit 1MDB dan memenjarakan Rafizi adalah untuk menyelamatkan dan melindungi pencuri wang 1MDB.
No comments:
Post a Comment