Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan berkenaan
syarat kerjasama yang dikenakan terhadap parti pembangkang yang
bekerjasama dengan DAP merupakan kehendak akar umbi parti itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari turut
mengingatkan orang ramai bahawa DAP yang melanggari prinsip 'bersetuju
untuk tidak bersetuju' ketika di dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika
dahulu sehingga menyebabkan gagasan itu terkubur.
"Pemuda PAS menganggap kenyataan Nasruddin berhubung kerjasama PAS
dengan parti-parti yang lain di dalam pilihan raya umum akan datang
menggambarkan hasrat akar umbi PAS khususnya selepas Muktamar Tahunan
PAS 2015.
"Adalah diingatkan bahawa DAP merupakan parti yang telah melanggar
prinsip kerjasama di dalam PR yang telah dipersetujui menjelang Pilihan
Raya Umum ke-13 yang lepas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadhli berkata, kerjasama di antara kedua-dua parti mula renggang
selepas DAP menyerang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
tentangannya terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355
yang bertujuan memantapkan bidang kuasa mahkamah syariah.
Sehubungan itu, Pemuda PAS bersetuju untuk menolak sebarang kerjasama
dengan DAP dan mana-mana parti yang menjalinkan kerjasama dengan parti
itu agar 'kisah lama' tidak lagi berulang.
PAS baru-baru ini bagaimanapun meletakkan syarat kepada parti
pembangkang lain yang mahu menjalinkan kerjasama dengan mereka supaya
meninggalkan DAP terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan atau
perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk PRU14 dilakukan.
Nasrudin berkata parti itu akan menolak mana-mana parti politik yang mendukung serta bekerjasama dengan musuhnya DAP.
Malah menurut Nasrudin, parti-parti berkenaan seharusnya mempunyai
semangat setia kawan serta memenuhi syarat mudah dengan menghormati
prinsip perjuangan serta tidak menentang Islam yang diperjuangkan oleh
parti itu.
PKR, sebagai respon terhadap kenyataan Nasruddin itu semalam
memberitahu terpulang kepada pimpinan parti untuk menurut atau tidak
kehendak PAS itu.
No comments:
Post a Comment