KEMASKINI- KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat kehadirannya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu keperluan.
Ujarnya, Anwar adalah pemimpin de facto PKR justeru adalah perlu untuk
dirinya datang zahirkan sokongan agar hubungan baik boleh terjalin
seterusnya menjamin agenda politiknya, untuk menjayakan kerjasama dengan
parti pembangkang.
Muhyiddin kini giat mengadakan program dengan pemimpin parti
pembangkang yang lain untuk memastikan semua parti pembangkang bersatu
bagi berdepan dengan Umno Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14), akan datang.
"Saya datang untuk bagi sokong moral pada Datuk Seri Anwar. Sudah lama tak jumpalah.
"Lebih-lebih beliau (Anwar) adalah de facto PKR. Saya rasa penting
sebagai presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, hubungan itu kita
jalinlah supaya kerjasama yang kita harapkan terjalin akan jadi satu
kenyataan.
"Alhamdullillah, saya fikir itu sentimen yang saya dapat rasa. Hari ini
pun ramai kawan-kawan yang hadir. Kita harap kerjasama yang nak kita
jalin untuk satu pakatan yang kukuh untuk hadapi BN dapat kita
laksanakan," ujarnya kepada pemberita selepas meluangkan masa sekitar 30
minit bersama Anwar, hari ini.
Turut hadir mengiringi Muhyiddin adalah Naib Presiden PKR, Tian Chua,
Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution, ADUN Sri Andalas,
Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.
Muhyiddin pada Sabtu lalu, tampil buat kali pertama dalam ceramah anjuran PAS di Kemaman, Terengganu.
Dalam ucapannya, Muhyiddin juga mengajak PAS untuk bersatu di bawah
satu pakatan dengan parti pembangkang yang lain, untuk menewaskan Umno
BN.
Terdahulu Muhyiddin aktif berceramah di atas pentas Pakatan Harapan, berhubung gesaan yang sama.
Pegangan Muhyiddin itu senada dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahukan parti pembangkang bergabung.
Ujarnya kegagalan parti pembangkang bergabung menyebabkan mereka tidak
berupaya mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Umno BN, sejak 59
tahun lalu.
No comments:
Post a Comment