Sunday, October 9, 2016

Hassan Din tegur ceramah lawak

Hassan Din tegur ceramah lawak
Hassan (kanan) meluangkan masa menandatangani bukunya yang dibeli orang ramai di Masjid Sultan Idris 2, Teluk Intan.


TELUK INTAN - Penganjur majlis ilmu dan tazkirah di masjid atau surau diingatkan supaya tidak ghairah memilih penceramah yang menghiburkan hadiran dengan nyanyian lagu Hindustan.

Pendakwah terkenal, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz berkata, terdapat segelintir penganjur program yang menguar-uarkan mengenai kehadiran penceramah yang pandai berjenaka dan menyanyikan lagu Hindustan bagi menarik orang ramai hadir ke program berkenaan.

“Orang ramai pun datanglah sebab nak dengar ceramah sebab penceramah tersebut pandai membuat lawak dan menyanyi lagu Hindustan dan majlis tersebut dipenuhi dengan gelak ketawa mereka yang hadir.

“Malah terdapat golongan wanita yang hadir pada ceramah tersebut tanpa segan silu ketawa berdekah-dekah sambil bertepuk tampar,” katanya ketika memberi ceramah di Masjid Assaadah, Kampung Selabak, sempena sambutan Maal Hijrah.

Hassan Din yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Berhijrah kepada yang lebih baik’ turut menasihati penceramah yang menggunakan lawak jenaka dan nyanyian lagu Hindustan supaya memberhentikan tindakan mereka.

“Ia boleh mencemarkan imej Islam kerana menjadi majlis yang sia-sia dipenuhi dengan gelak tawa dan tidak mendapat keberkatan.

“Penganjur juga jangan terlalu ghairah mencari publisiti murahan sehingga sanggup berbuat apa saja yang bercanggah ajaran dan hukum Islam,” katanya.

Sementara itu, dalam ceramah berbeza di Masjid Sultan Idris 2 Teluk Intan, malam kelmarin, Hassan Din turut menegur sikap segelintir umat Islam tidak kira lelaki mahupun wanita yang masih bersalaman walaupun bukan muhrim.

“Perkara ini seperti sudah menjadi satu adat bila lelaki dan wanita Islam di negara ini bertemu mereka akan bersalam sedangkan tiada apa-apa hubungan sah terutama melibatkan pemimpin dan rakyat.

“Saya sering perhati bila ada wakil rakyat atau menteri lelaki hadir program dan majlis, wanita Islam berebut bersalam kononnya menghormati pemimpin tersebut,” katanya.

Menurut Hassan Din, perbuatan tersebut tetap haram kerana bercanggah dengan ajaran Islam dan mengapa kita membiarkan ia terus berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Saya ingin mengajak semua masyarakat Islam supaya berhijrah kepada lebih baik segera dengan meninggalkan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.


No comments: