'Perang gambar' antara ketua geng baju merah Datuk Jamal Md Yunos dengan penyokong Bersih semakin menjadi-jadi apabila foto tanpa baju ketua Umno bahagian Sungai Besar itu disebarkan di media sosial.
Setelah memuat naik foto mirip menteri besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dengan seorang wanita di tandas di laman facebooknya, foto Jamal yang tidak berbaju dengan pistol tersisip dipinggang dan sedang menjulang seorang bayi disebarkan di internet.
Jamal sebelum ini dibidas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin kerana mengadakan sidang akhbar di dalam tandas di bangunan Umno Selangor di Shah Alam setelah mengoyak dan mencampak surat tuntutan permohonan maaf Bersih ke dalam lubang tandas.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menuntut permohonan maaf itu apabila Jamal mendakwa badan NGO itu diresapi militan IS @ Daesh.
Jamal di laman facebook miliknya hari ini memuat naik foto dakwaan skandal seks di dalam tandas yang dikaitkan dengan Azmin oleh blog pro-Umno sekitar tahun 2012.
Tindakan itu dibuat bagi menjawab kenyataan Dr Afif bahawa "hanya syaitan yang suka duduk di dalam tandas".
Dr Afif juga dalam sidang media semalam menyifatkan tindakan Jamal sebagai bertentangan dengan budaya Melayu.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie dilapor menyarankan pihak media agar tidak lagi melayan atau memberi liputan kepada Jamal.
Ini kerana Jamal, ujarnya menggunakan gambar fitnah yang sering kali digunakan kepimpinan Umno apabila terdesak.
Dalam perkembangan berkaitan, Maria Chin memfailkan tuntutan samannya terhadap Jamal di mahkamah hari ini.
Saman dikemukakan peguam N Surendran dan Melissa Sasidaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
Maria bagaimanapun tidak dapat hadir di mahkamah kerana berada di Kedah menghadiri majlis berkaitan Bersih.
No comments:
Post a Comment