Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama PAS mempunyai pandangan berbeza apabil
menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali
DAP dan Amanah, demikian menurut Setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohamad
Zawawi Nik Salleh.
"Kita tak bekerjasama dengan DAP dan Amanah, itu sahaja," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Penerangan PAS Nasruddin Tantawi
pada dua hari lalu berkata, partinya tidak akan menjalin kerjasama
dengan mana-mana parti politik pembangkang yang ada hubungan bersama
DAP.
Syarat itu dinyatakan Nasruddin, sekiranya mahu mengadakan rundingan
dan perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) akan datang.
Ujar Nasruddin syarat sedemikian perlu supaya parti-parti pembangkang
mempunyai semangat setiakawan dan menghormati prinsip perjuangan PAS.
Nik Zawawi, ketika mengulas syarat berkenaan mendakwa konteks Nasruddin mungkin telah disalah anggap.
Sementara itu, beliau juga turut diajukan dakwaan Presiden Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya
mendapat komitmen daripada PAS untuk membentuk blok pembangkang yang
baru untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN).
"Kita akan bincang dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama esok," katanya ringkas.
Nik Zawawi juga menegaskan PAS tetap melawan Umno-BN sekaligus menepis
tohmahan kerjasama yang kononnya sedang diwujudkan antara dua parti
berkenaan.
Muhyiddin pada hari ini mendakwa mendapat penyataan komitmen yang
disifatkan positif daripada wakil pemimpin PAS ketika menghadiri sebuah
majlis politik yang diadakan di Terengganu, minggu lalu.
Sehubungan itu Muhyiddin menyeru PAS, PKR dan PPBM bersatu dalam agenda menumbangkan parti pemerintah.
Selain perbincangan komitmen membentuk blok pembangkang, PAS, menerusi
Mesyuarat Majlis Syura Ulamanya esok akan turut membincangkan pengganti
Allahyarham Datuk Dr Haron Din untuk jawatan Mursyidul Am.
No comments:
Post a Comment