MUAR: ADUN Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh bersedia untuk dipecat
daripada Umno kerana sudah melanggar Perlembagaan Umno apabila menerima
jawatan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Katanya, beliau memahami Perlembagaan Umno yang mensyaratkan mana-mana
ahli parti yang melanggar peraturan akan dipecat seperti pernah berlaku
kepada pemimpin Umno yang melakukan kesalahan sama sebelum ini.
"Dengan perginya saya ke PPBM ini, secara automatik, saya juga
melanggar Perlembagaan Umno. Ramai dalam kalangan ahli Umno yang
melanggar Perlembagaan sudah dipecat dan saya faham mengenainya.
"Sehubungan dengan itu, saya kira bahawa (kerajaan Umno dan BN) di DUN
Johor sudah tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam dewan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri
Program Bicara Rakyat Bersatu di Kampung Sungai Terap, di sini, malam
tadi.
Turut hadir ialah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun Shahruddin mengakui kedudukan Barisan Nasional (BN) di Johor
masih utuh walaupun kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan
Negeri (DUN) Johor.
"Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) kita masih boleh
tadbir negeri Johor dalam keadaan baik, selamat dan selesa. Beliau akan
terus mentadbir negeri ini seperti dilakukannya pada hari ini (walaupun
kehilangan majoriti dua pertiga)," katanya.
No comments:
Post a Comment