Ugutan itu diterimanya di Facebook kerana lantang mengkritik Syiah, Wahabi dan kumpulan ekstremis.
BANGI: Kesungguhan penceramah bebas, Zamihan Mat Zin menentang fahaman Syiah, Wahabi dan menolak ideologi ekstremis menyebabkan dirinya menerima ugutan bunuh daripada pihak yang tidak berpuas hati.
Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) itu berkata, beliau pernah menerima ugutan bunuh sebanyak dua kali sepanjang kariernya sebagai seorang penceramah dan juga penulis buku.
“Saya sudah dua kali diancam bunuh. Saya sudah buat laporan polis untuk ancaman kali pertama, dan saya bercadang untuk buat laporan polis kali kedua,” katanya dalam sidang media di pejabat Aswaja, hari ini.
“Ugutan bunuh ini baru lagi dan saya tidak pernah kenal orang ini.
Orang ini menyatakan bahawa Zamihan sepatutnya dibunuh,” katanya yang
bercadang membuat laporan polis kali kedua, esok.
Zamihan yang sering terlibat memulihkan fahaman ideologi pengganas menyatakan kedua-dua ugutan bunuh yang diterimanya adalah melalui laman sosial Facebook.
Bagaimanapun, penceramah itu turut meluahkan rasa kecewanya apabila laporan polis yang dibuatnya pada kali pertama tidak mendapat perhatian dan tiada sebarang tindakan daripada pihak polis.
“Bila kita buat laporan polis, sehingga kini masih tiada tindakan,” kata beliau lagi.
Zamihan memberitahu ugutan bunuh kali pertama dibuat oleh seorang guru yang dipercayai menetap di Lahad Datu, Sabah. Manakala, ugutan kali kedua dibuat oleh seorang individu yang dipercayai menetap di Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment