NSO
Sedari
dulu hingga sekarang kalau bercakap mengenai Ahmad Zahid Hamidi orang
tidak akan lalai daripada memperkatakan suatu kehebatan yang ada kepada
anak Jawa Bagan Datoh ini, yakitu mempunyai PR (public relation) yang
cukup baik. Saya ingin menambah, bukan sahaja PR yang baik yang
menjadikan beliau disenangi, tetapi satu lagi kebolehan konsisten Zahid
ialah licit memuji alias membodek.
Dalam politik, Zahid juga play safe, atau
boleh juga dikatakan bijak bermuka-muka. Zahid seorang yang tahu
kelemahan dirinya dan dia mengatasi kelemahan dirinya dengan cara
tersendiri tanpa pun memerlukan modal dan menunjukkan kualiti. Satu lagi
modal Zahid ialah menggambarkan dia seorang agamawan? Terma-terma atau
istilah yang digunakan berbau padang pasir, atau hamis-hamis unta.
Salah satu kelicitan Zahid ialah membodek siapa yang menjadi bosnya.
Satu masa Zahid mempunyai dua bos serentak, Anwar Ibrahim dan Najib
Razak. Kedua orang inilah menjadi tempat pergantungannya dan Zahid
berjaya dalam politiknya sehingga berada pada takah yang ada kini. Zahid
menyangkut baju politik kepada dua tokoh ini kerana dia tahu costume politik tidak seberapa sangat.
Semasa melancarkan buku diterbitkan sempena 40 tahun Najib Razak
berkucah dalam politik, Zahid meneruskan tradisi pengampuan dan
pembodekan kepada ketuanya, Najib. Ada dua kekaguman yang mengenai Najib
yang diangkat oleh Zahid semasa berucap meluncurkan buku berkenaan.
Pertama ialah mengenai kesabaran tinggi Najib sebagai seorang pemimpin
yang dilukiskan sebagai cukup hebat.
Zahid menceritakan macam mana Najib tenang menghadapi situasi gawat
apabila pemandunya membrek kereta dengan mengejut sehingga PM itu
tersungkur, bagi mengelak sekumpulan kambing. Saya pernah mendengar
cerita ini daripada mulut Zahid. Waktu itu ceritanya bukan kambing,
tetapi lembu. Tetapi versinya sama, cuma bertukar jenis haiwan sahaja.
Biasalah orang politik. Mungkin untuk 40 tahun lagi haiwan yang hendak
dilanggar itu gajah atau harimau pula, biar nampak lebih hebat.
Najib yang dalam perjalanan ke Pekan terlelap, tiba-tiba tersedar
apabila tersungkur kerana henjutan brek kereta yang kuat. Menurut Zahid,
Najib hanya biasa sahaja dan bertanya, kenapa? Selepas mengetahui
keadaanya Najib hanya mengomen tanpa pun mengenakan apa-apa tindakan
terhadap pemandunya itu.
Sikap Najib itu mengkagumkan Zahid menyebabkan dia menilai bos itu
sebagai seorang yang penyabar dan sekaligus sifat demikianlah
menyebabkan Najib berada ditempatnya kini.
Perkara kedua diangkat oleh Zahid untuk menunjukkan kehebatan Najib
ialah, Najib menjaga kebanjikan bekas ketua-ketua pemuda di zamannya.
Najib tidak melupai mereka dan semua ketua-ketua pemuda diingati dan
diberi tanggungjawab. Sudah pasti juga diberi habuan. Ini termasuklah
Zahid sendiri yang tidak dilupai oleh Najib termasuklah bersedia memberi
jawatan TPM.
Apa yang diceritakan Zahid itu tidak boleh ditolak. Itulah hakikat dan
sifat yang ada kepada Najib. Beliau seorang yang sememangnya tenang,
baik dan pemurah sangat.
Secara peribadi kalau sesiapa mengenali Najib, dia mengambil perhatian
kepada setiap orang dikenali. Saya sendiri pernah tersua dengan Najib
dan beliau meminta saya ke pejabatnya kalau ada apa-apa? Ceritanya
apabila timbul salah faham mengenai saya oleh Najib. (Tetapi saya tidak
ke pejabatnya). Apa hendak dinyatakan bahawa Najib seorang yang peka
dengan keadaan apa lagi kalau keadaan itu membabitkan dirinya.
Pengalaman saya itu bagi mengiya apa yang Zahid daulatkan terhadap
Najib. Najib memang seorang prihatin, berperwatakan lemah lembut dan
baik.
Tetapi apakah cukup dengan memberi dua gambaran kebaikan budi dan
saksiah Najib itu untuk melayakkan Najib menjadi seorang perdana
menteri? Apakah itu kretria yang perlu ada kepada seseorang perdana
menteri tanpa memiliki keistimewaan dan integriti lain lagi? Kalau
hanya itulah sahaja kretrianya ia terlalu cetek. Dangkal sangatlah
penilaian Zahid terhadap Najib.
Seorang pemimpin besar perlu memiliki kehebatan dan keunikan lebih
daripada itu. Bukan sahaja sifat peribadinya tetapi pemikiran dan
wawasan, itu paling penting. Penting juga agendanya untuk masa depan
negara. Selebihnya apakah track record yang ada kepada Najib.
Najib perlu diukur dalam skala yang lebih besar sesuai dengan
kedudukannya kini, bukan setakat dia sabar atau pun tidak marahkan
driver.
Mungkin kalau setakat menjadi ketua pemuda Umno apa diangkat Zahid boleh
diterima, tetapi bukan sebagai PM. Zahid perlu sedar Najib kini adalah
perdana menteri yang sedang diperhati dan dinilai oleh dunia bukan oleh
bahagian-bahagian Umno sahaja. Lantaran itu Zahid harus meletaklkan
Najib dalam gelanggang dan medan yang luas.
Sesiapa tidak marah kalau Zahid ingin memanggungkan Najib, tetapi
biarlah ianya berasas dan logik. Jangan kerana hendak membodek dan
mengambil hati Najib maka ia dinilai dengan subjek yang remeh temeh dan
boleh diketawakan dunia.
Zahid juga perlu mengukur kebolehan dan darjah yang ada kepada Najib
waktu ini, setelah Najib menjadi PM bukan lagi bersenandung dengan
kisah-kisah lama. Najib adalah perdana menteri bukan ketua pemuda Umno
lagi. Apakah Zahid lupa dengan beberapa kelemahan dan kecacatan yang
jelas dan nyata ada kepada Najib. Kelemahan atau beberapa isu tertentu
membabitkan integriti Najib menjadi perhatian dan ukuran orang
terhadapnya.
Antara isu-isu yang mengelilingi Najib kini dan sedikit sebanyak
mencalarkan integritinya sebagai perdana menteri seperti isu dana RM2.6
billion dan juga kemasukan wang ke dalam akaunnya. Isu ini cukup
mencabar wibawa Najib. Mungkin wang itu tidak besar tetapi sikap diambil
Najib tidak mahu menjawabnya telah mencacatkan Najib. Kewibawaanya akan
dipersoalkan selama-lamanya.
Najib tidak pernah menjawab secara pasti dan berdolak dalik perkara
berkenaan. Dia lebih menyerahkan kepada orang lain untuk menjawabnya,
termasuk juga Zahid. Tindakan dilakukan oleh Peguam Negara yang
menggunakan kuasa yang ada kepadanya mengarahkan SPRM menututp siasatan
berhubung perkara itu telah mencemarkan Najib sebagai perdana menteri.
Dan tindakan itu mengilankan banyak orang.
Ini tidak termasuk beberapa kejutan lain yang berlaku dalam pentadbiran
negara khasnya SPRM. Gangguan terhadap siasatan oleh SPRM terhadap kes
membabitkan Najib sehingga ada pegawai SPRM dikenakan tindakan, ia
memberi gambaran ketidaktelusan Najib sebagai perdana menteri. Kejadian
itu disuluh Najib sebagai menggunakan kuasa untuk melindungi dan
menyelamat diri sendiri.
Hal-hal atau kejadian seperti inilah yang sepatutnya dinilai sama oleh
Zahid sebelum beliau tergamak mengangkat Najib dengan bahasa pujian dan
sanjungan.
Mungkin Zahid sudah melupai Anwar dan tidak mengharap Anwar memberi
syufaat politik kepadanya lagi. Zahid sudah boleh mendabit dada bahawa
kedudukan atau pencapaian politiknya sudah setanding dengan Anwar,
sama-sama menjadi timbalan perdana menteri. Namun dalam membuat
perbandingan dan penilaian antara kedua bos beliau itu, Anwar dan Najib,
Zahid harus adil. Tanpa membandingkan sama Anwar penilaian Zahid akan
dilihat tempang.
Apakah beliau mengira Najib sudah mengatasi rekod perjuangan Anwar?
Sekiranya Zahid masih waras dia dapat membuat penilaian mampan antara
kedua orang ini. Mungkin Zahid boleh mengatakan Najib sahabat atau bos
paling hebat dan berjasa kepadanya, tetapi tidak untuk meletakkan Najib
berada atas Anwar pada bila-bila masa sahaja.
Satu sahaja juzu boleh dijadikan perbandingan, Najib sepanjang 40 tahun
penglibatannya dalam politik tidak pernah melalui ujian segetir Anwar.
Jadi Najib tidak boleh diikhtiraf sebagai pejuang bangsa kerana beliau
tidak melalui ujian itu seperti mana Anwar. Ertinya pengikhtirafan Zhid
kepada Najib itu adalah satu pengikhtirafan kosong dan palsu tanpa
berasaskan fakta dan hakikat sebenar. Jadi pelambungan Zahid terhadap Najib itu akan diketawakan, dan ia tidak ubah seperti peniup serunai dengan ular tedung sahaja.
No comments:
Post a Comment