Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang berpangkalan di Amerika Syarikat melanggar setiap peraturan kewartawanan dengan membuat dakwaan palsu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata seorang menteri Umno.
"Walaupun telah dibuktikan tidak benar, WSJ terus membiarkan akhbar itu digunakan sebagai perantaraan kempen anti Najib," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan WSJ yang mendakwa wang yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib adalah dari 1MDB atau anak syarikatnya.
"Kempen bermotifkan politik itu gagal tahun lalu dan ia tidak akan berjaya, sekarang ini," kata Rahman yang juga adalah Pengarah Komunikasi Strategik BN.
"Dalam lagi satu lagi serangan yang penuh dengan kepalsuan, akhbar itu mendakwa pegawai-pegawai Arab Saudi - yang tidak dinamakan - berkata bahawa menteri-menteri kewangan dan luar negara itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai derma di akaun Najib," katanya.
Namun, katanya, Menteri Luar Arab secara terbuka berkata bahawa dana berkenaan disalurkan kepada Najib dari Arab Saudi - seperti yang disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berikutan siasatan menyeluruh.
Beliau turut mempersoalkan keboleh-percayaan laporan itu.
"WSJ telah melanggar setiap peraturan yang terdapat dalam buku kewartawanan. Bagaimana kita tahu sama ada orang ini benar-benar wujud?" soalnya merujuk cara WSJ membuat laporan yang memetik sumber yang tidak dinamakan.
"Tidak syak lagi, WSJ akan terus membuat tuduhan palsu lain. Walau bagaimanapun, seperti yang terbukti dalam hal ini, saya mempunyai keyakinan bahawa rakyat akan melihat pembohongan mereka itu," katanya.
Editor Kewangan WSJ, Ken Brown ketika ditemu bual oleh rangkaian televisyen ABC News Australia pada 12 Februari lalu menafikan dakwaan bahawa wang yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib adalah sumbangan ‘derma’ daripada keluarga diraja Arab Saudi.
"Laporan kami telah berbulan-bulan menunjukkan bahawa wang itu bukannya dari Arab Saudi, tetapi melalui sekumpulan syarikat dan akaun-akaun bank yang berkaitan dengan 1MDB.
"Dan awak juga tahu, sehingga kini, laporan kami belum dipersoalkan lagi dan kami mempunyai banyak bukti untuk menyokongnya," katanya kepada wartawan ABC, Beverley O'Connor
Brown yang juga adalah Ketua Biro Hong Kong WSJ, mengulangi pendirian akhbar itu bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib memang berasal daripada 1MDB.
No comments:
Post a Comment