Monday, February 8, 2016

Umno: Semangat Perpaduan Anggota Mampu Atasi Masalah Parti - Zahid

MSTAR ONLINE
 
 
Berselfie bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir pada majlis perjumpaan khas bersama Umno Johor sempena lawatan kerja rasmi beiau ke Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Ahad. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Foto Bernama
 
 
JOHOR BARU: Semangat perpaduan dalam kalangan anggota Umno dari dahulu hingga kini berupaya mengatasi permasalahan yang timbul, sekali gus mengukuhkan parti, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata sebelum ini, parti itu pernah melalui cabaran-cabaran yang lebih hebat lagi.

Namun, dengan adanya semangat perpaduan dalam kalangan anggota parti, permasalahan tersebut dapat diatasi dan persepsi itu bertukar daripada negatif kepada positif, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu.

"Begitu juga dalam keadaan sekarang, saya amat menghargai dokongan anggota Umno Johor yang menyatakan ketaatan pada parti dan kepimpinan adalah menjadi tonggak kepada asas pegangan mereka."

"(Dan) ini adalah sesuatu yang amat dihargai oleh Ibu Pejabat Umno Malaysia," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perjumpaan khas bersama Umno Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini petang Ahad.

Ahmad Zahid berkata, Umno pernah menghadapi pelbagai masalah dahulu termasuk parti itu diharamkan dan berdepan kegawatan ekonomi yang menyebabkan negara mengalami defisit dan kekurangan simpanan  serta nilai ringgit menyusut lebih rendah dan Indeks Komposit pasaran saham jatuh ke paras rendah.
"Tetapi ia (semuanya) meningkat kembali kerana ada dokongan kepada kepimpinan.

"Itulah juga yang harus ada pada kita sebab pemimpin datang, pemimpin pergi, isu datang, isu pergi tetapi dokongan untuk kepimpinan parti dan kerajaan harus diteruskan...pengalaman lalu mengajar kita agar asas kesatupaduan itu dijadikan sebagai tonggak untuk mengatasi segala permasalahan," kata beliau.

Oleh itu, katanya dengan semua penjelasan telah diberikan, anggota-anggota Umno Johor perlu terus bergerak ke hadapan dan tidak terperangkap dengan isu-isu yang boleh mengganggu perjalanan parti.

"Ini merupakan satu pendirian yang baik kepada Umno Johor dan saya yakin begitu juga  pihak kerajaan negeri dan penerimaan di bawah akar umbi yang datang dan memberikan respons yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai amanat yang diberikan kepada Umno Johor pada perjumpaan itu.

Pada perjumpaan tertutup itu, Ahmad Zahid meluangkan masa lebih sejam bersama lebih 1,000 ahli Umno Johor.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, Umno Johor menerima keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berharap keputusan itu akan dihormati semua pihak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu berkata, keputusan berkenaan merupakan pendirian Umno Johor terhadap isu kepimpinan parti. - Bernama

No comments: