Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menasihati rakyat di negara ini supaya tidak teruja dengan janji timbalan perdana menteri yang menyatakan pengambilan seramai 1.5 juta pekerja Bangladesh kini dibekukan.
Katanya, tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu hanyalah bertujuan hanya untuk meredakan kemarahan rakyat semata-mata.
“Saya ingin menarik perhatian, kita jangan mudah teruja dengan drama, di mana saya bimbang setakat penangguhan ini untuk meredakan kemarahan rakyat.
“Sebenarnya pekerja Bangladesh ini akan dibawa ke Malaysia dengan jumlah 1.5 juta,” katanya melalui rakaman video yang dimuat naik oleh blogger Minaq Jinggo.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri.
Zahid berkata penangguhan itu juga bagi membolehkan kerajaan meneliti semula keputusan berkaitan pembayaran levi dua kategori.
Kata Ibrahim lagi, perkara itu bukanlah suatu baru kerana sebelum ini kabinet secara senyap meluluskan pelbagai kuota.
“Saya ingin tegaskan, sebelum ini sudah ada pengumuman kabinet membekukan keputusan itu dan ini.
Tetapi dalam senyap-senyap mereka meluluskan pelbagai kuota termasuk pekerja asing peringkat demi peringkat,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggesa kerajaan tidak bermain wayang, sekali gus memutarbelitkan rakyat dengan keputusan yang tidak tetap.
“Jangan terus bermain drama, terus memutarbelitkan rakyat kerana yang kita nak lihat, pembatalan terus secara muktamad, tidak ada lagi pekerja warga asing.
“Masalah kekurangan pekerja boleh kita uruskan dengan cara yang lain, banyak lagi kaedah dan bukan dengan jalan yang mudah,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment