Ramesh Rao, penasihat bagi kumpulan yang menggelar diri mereka Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia (PMSP) mengancam untuk menyaman Sarawak Report kerana menggelarnya "bankrap" dan "cyber trooper BN".
"Saya akan menyaman Sarawak Report kerana memfitnah saya. Saya mencabar Sarawak Report untuk membuktikan bahawa saya adalah seorang cyber trooper dan bankrap," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh PMSP di Twitter.
Sarawak Report melalui kenyataan di Facebook
menyatakan Ramesh dihalang polis UK di London ketika cuba mengemukakan
"bukti" dan membuat laporan terhadap laman web pemberi maklumat itu.
Ramesh sebaliknya meminta untuk menyerahkan bahan
berkenaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK. Mengakui beliau
diisytihar bankrap Julai tahun lepas, Ramesh bagaimanapun berkata
masalah kebankrapannya telah "selesai".
"Isu ini telah diselesaikan, saya hanya berhutang RM15,000 lagi," katanya.
Menurut laman web Jabatan Insolvensi, seseorang boleh
diisytiharkan bankrap melalui perintah Mahkamah Tinggi sekiranya tidak
dapat membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.
Terdapat banyak sekatan dikenakan ke atas bankrap seperti
pelucutan aset, sekatan ke luar negara dan memegang jawatan korporat
dan perlu menjalankan perniagaan atau lain-lain keperluan untuk membayar
pemiutang.
Mengulas lanjut, Ramesh berkata, dokumen yang dikemukakan terhadap Sarawak Report dan editornya Clare Rewcastle-Brown mengandungi maklumat baru.
"Dokumen-dokumen itu tidak pernah didedahkan atau diketahui oleh pihak berkuasa Malaysia," katanya.
Sarawak Report berada di barisan hadapan dalam
melaporkan dakwaan kegiatan rasuah melibatkan Datuk Seri Najib Abdul
Razak. Perdana menteri itu bagaimanapun menafikan semua tuduhan laman
web itu.
Ramesh dan NGO berkenaan dilihat sebagai mesra kepada
parti pemerintah dan aktif membongkar laporan laman web itu dengan
menuduh Rewcastle-Brown sebagai agen kepada pihak yang mempunyai
kepentingan politik.
No comments:
Post a Comment