Tan Sri Rafidah Aziz berpendapat kemelut politik di Kedah dengan penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar menggambarkan ketamakan terhadap jawatan dan kuasa.
“Kemelut di Kedah mencerminkan budaya politik untuk kepentingan diri sendiri.
“Menjatuhkan orang lain untuk merebut kedudukan, inilah
yang dikatakan tamak. Tamak terhadap kuasa dan kedudukan,” tulis veteran
Umno itu di Facebooknya.
Penyingkiran Mukhriz dibuat selepas majoriti ADUN Umno di
negeri itu- diketuai Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri
Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap
kepimpinannya.
Langkah itu juga dilihat sebagai usaha mengekang serangan
Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran perdana menteri, Datuk
Seri Najib Razak, terutama dalam isu 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion.
"Pelbagai perkara timbul di sekeliling kita, lepas satu,
timbul lagi satu masalah yang tidak boleh diselesaikan dan diikuti
dengan beberapa lagi.
"Ia seolah-olah seperti tangan, kaki dan jari terlekat
terkena gam yang sukar dibersihkan, perasaan seperti terperangkap di
dalam sebuah lubang," kata Rafidah.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu
juga berkata sesebuah parti politik menjadi hancur disebabkan mengejar
pangkat dan kuasa.
“Biar menang sorak kampung tergadai. Biar parti hancur
asal hasrat peribadi tercapai. Ke mana nak dibawa jawatan, pangkat dan
kuasa. Apa ertinya jawatan kalau tidak bekerja dan menunaikan
tanggungjawab.
“Tolonglah serius, negara ini tidak mahu lagi penipuan politik. Cukuplah
dengan pelbagai isu sebelum ini. Baiki segala kerosakan yang telah
berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment