RAWANG: PKR dilihat berdolak-dalih dalam isu komitmennya terhadap
Pakatan Harapan kerana tidak yakin kepada kekuatan dalamannya sendiri,
kata Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu berkata
pemimpin pelapis PKR harus berusaha memperkukuhkan struktur dan
organisasi parti itu demi keutuhan Pakatan Harapan.
"Yang mungkin kalau kita tengok dolak-dalik PKR dalam Pakatan Harapan
menunjukkan bahawa mereka tidak yakin kepada struktur dan kekuatan
organisasinya.
"Kalau tidak, masakan lagi dia tidak bersedia untuk menceraikan PAS.
Saya fikir itu satu petanda bahawa PKR sendiri tidak mempunyai
keyakinan... untuk bergerak sebagai sebuah parti politik," katanya.
Pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim setahun lalu setelah disabit
kesalahan meliwat menyaksikan pemusatan kuasa politik PKR semakin
beralih kepada menteri besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang juga
timbalan presiden parti.
Dalam ketiadaan Anwar, PKR kini berusaha menampilkan pemimpin pelapis
untuk mengemudi parti itu di dalam Pakatan Harapan yang turut
merangkumi DAP serta Parti Amanah Negara (PAN).
Pada masa sama, Azmin kerap menegaskan PAS masih rakan politiknya bukan saja di Selangor malah di peringkat nasional.
Aziz berkata kemampuan pemimpin pelapis PKR untuk memperkasa parti itu
dari selain menyatu-padukan pihak yang bertelagah masih menjadi tanda
tanya.
"Saya fikir perkara itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa termasuk PKR
sendiri. Soalnya adakah nama-nama yang dicadangkan itu mampu atau pun
dapat meneruskan atau menggantikan ketokohan dan juga peranan Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
"Semua parti, saya fikir, bersedia semua bergerak ke arah itu. Ada
atau tidak tokoh yang berkemampuan untuk menyatukan semua kelompok dalam
parti itu? Sebagai contoh semua kem dalam parti itu," katanya.
Aziz berkata demikian apabila ditanya mengenai keperluan PKR
menampilkan pemimpin seperti Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar sebagai
tonggak parti daripada bersandarkan kepada karisma bapanya.
Selain Nurul Izzah, beberapa muka baru turut diketengahkan oleh PKR
antaranya Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, Shamsul
Iskandar Mohd Akin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia,
Nik Nazmi Nik Ahmad.
Mengulas lanjut, katanya perpecahan dalam parti boleh menimbulkan lagi pelbagai masalah yang lebih besar.
"Saya fikir untuk adil kepada PKR, perkara atau pun apa yang
diperkatakan perpecahan atau pun wujud kem-kem itu, wujud dalam semua
parti, tinggal lagi setakat mana kewujudan fenomena seperti itu
memecahkan parti berkenaan atau pun wujudkan fenomena seperti itu
menganggu kelancaran gerak kerja parti,” kata beliau.
Aziz membayangkan pemimpin pelapis PKR sendiri mungkin terbantut dalam
usaha membawa pembaharuan di dalam parti kerana kekangan tertentu.
"Antara masalah dan perkara yang barangkali yang dihadapi oleh PKR
ialah soal dia bergantung kepada soal orang yang ada dana. Sebagai
contoh, barangkali saya fikir isu seperti ini cukup penting atau hendak
bergerak tetapi tiada dana,” kata beliau.
“Jadi dana itu yang menjadi jaminan kepada wujudnya organisasi,
wujudnya pentadbiran yang cekap, efisyen dan sebagainya, " kata beliau.
"Siapa yang ada duit, atau pun yang ada akses kepada dana itu pastinya mempunyai kelebihan," jelasnya.
Aziz pernah bersama PKR namun berhijrah ke DAP tahun lalu kerana kecewa
dengan apa yang di sifatkan beliau sebagai "sistem tempang" parti itu
yang tidak diperbaiki sekian lama.
No comments:
Post a Comment