PETALING JAYA: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan
Ireland Utara mempertahankan rekod prestasi Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak berikutan kritikan terhadap beliau dalam satu laporan akhbar
Financial Times baru-baru ini.
Dalam satu surat disiarkan di laman web Financial Times, Datuk Ahmad
Rasidi Hazizi berkata Perdana Menteri sudah membuat “kemajuan jelas”
sejak memegang jawatan pada 2009.
“Banyak rakyat Malaysia keliru dengan serangan terbaru akhbar anda
terhadap rekod Perdana Menteri Najib Razak dan dakwaan bahawa
kepemimpinan beliau di Malaysia “teruk”.
“Kenyataan itu berlawanan dengan kemajuan jelas lagi benar yang dicatat
sejak beliau memegang jawatan pada 2009,” katanya dalam sekeping surat
disiarkan pada Isnin.
Ahmad Rasidi menjawab sebuah catatan pengarang bertajuk “The threat
Najib poses to Malaysia's reputation" (Najib menjejaskan nama baik
Malaysia) yang disiarkan pada 28 Januari.
Sebagai contoh, beliau berkata, pendapatan kasar negara telah bertambah
sebanyak 47.7%, 1.8 juta pekerjaan diwujudkan manakala pelaburan swasta
di Malaysia meningkat tiga kali ganda selepas Program Transformasi
Ekonomi diperkenalkan pada 2010.
Beliau turut menyatakan, pengangguran turut menurun ke bawah paras 3% manakala kadar kemiskinan dikurangkan pada kadar separuh.
Ahmad Rasidi turut menyatakan perhubungan Malaysia dengan China dan
Amerika Syarikat turut erat dengan Presiden Barack Obama baru-baru ini
menggambarkan suara Malaysia sebagai “penting dalam perbincangan
peringkat antarabangsa terhadap keganasan”.
No comments:
Post a Comment