Friday, February 19, 2016

Pembinaan SJKT diabai, janji UMNO BN Perak hanya gimik

Sivakumar-DAP

 Oleh Fatih Hassan Nordin


BATU GAJAH : Kerajaan UMNO BN Perak didakwa membuat janji penuh ‘gimik’ berikutan tindakan lembab kerajaan negeri itu mengatasi masalah pembinaan serta pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan India(SJKT) dekat sini, walaupun sudah memperoleh kelulusan tanah.

Ia ekoran sikap kerajaan tidak menepati janjinya untuk membina sebuah SJKT di Taman Paya, Taiping sehingga memakasa 2,000 keluarga India disini, menghantar anak mereka ke sekolah yang lebih jauh.

Walaupun tanah sudah diluluskan, Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu berkata, tidak ada usaha yang dilakukan pihak bertanggungjawab untuk mempercepat pembinaan sekolah berkenaan.

“BN tipu lagi. Apa sudah jadi dengan janji untuk membina sebuah sekolah Tamil di Taman Kaya, Taiping. Kerajaan Perak sudah meluluskan sebidang tanah kerajaan untuk membina sebuah SJKT.

“Ketika itu, Datuk Veerasingam merupakan penasihat khas kepada Menteri Besar Perak. Datuk Veerasingam sudah membuat pengumuman dan menyerahkan surat kelulusan itu dalam satu majlis keramaian di Taiping.

“Taman Kaya ada lebih kurang 2000 keluarga India yang terpaksa menghantar anak mereka ke St Theresa Convent yang berada 6 km daripada kawasan kediaman itu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan tindakan lembab kerajaan negeri menangani masalah pemindahan SJKT Ladang Holyroad di Selama walaupun tanah seluas 3.4 ekar di Jalan Sungai Mas, dekat situ, sudah diluluskan untuk tujuan pembinaan sekolah baru.

“Tanah di Jalan Sungai Mas sudah diluluskan untuk membina sebuah SJKT baru untuk menggantikan atau mengalih SJKT Ladang Holyroad di Selama. Sekolah lama itu menghadapi masalah kekurangan pelajar.

“Satu jawatankuasa tindakan ditubuhkan untuk menangani isu ini. Tetapi, selepas tanah diluluskan tidak ada apa-apa tindakan selanjutnya dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Adakah semua ini satu lagi gimik Barisan Nasional untuk menipu masyarakat India?” katanya yang sebelum ini membangkitkan perkara itu ke Mesyuarat Exco Perak pada 2012, namun, tidak diambil peduli Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Abdul Kadir.

Mengakui sedih atas sikap sambil lewa kerajaan negeri, beliau berkata, pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana pembinaan sekolah-sekolah berkenaan seolah-olah lupa terhadap kesusahan rakyat selepas memenangi Pilihan raya Umum yang lalu.

“Sedihnya, selepas tanah diluluskan, semua pemimpin-pemimpin yang hanya mencari publisiti murahan balik masuk ke dalam kelambu. Mereka masih tidur nyenyak seolah-olah sekolah itu selesai dibina.

“Saya juga ingin mengingatkan Menteri Besar Perak bahawa beliau sendiri telah merasmikan tapak baru sekolah tersebut pada bulan Mac 2013.

“Ini merupakan gimik atau muslihat beliau untuk memenangi hati masyarakat India menyokong Barisan Nasional dalam Pilihan raya Umum Ke 13. Selepas Pilihan raya dan BNl menang di Perak, mereka mula tunjuk belang,” katanya.

Justeru, bagi mendesak kerajaan negeri untuk terus sedar akan permasalahan itu, Setiausaha Antarabangsa DAP itu akan membangkitkan isu berkenaan pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 7 Mac nanti. -Roketkini.com



No comments: