Thursday, February 25, 2016

Nizar vs TV3: "Tiada Merit Dalam Rayuan TV3" - Hakim Mahkamah Persekutuan

KELAB GREENBOC


 
Mahkamah Persekutuan kekal keputusan TV3 bersalah fitnah Nizar

Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan bahawa tiada unsur berat sebelah kehakiman dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bertanggungjawab memfitnah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mohammad Nizar telah memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap stesen televisyen berkaitan komen beliau mengenai nombor pendaftaran kereta "WWW1", yang berjaya dibida dengan harga RM520,000 oleh Sultan Johor pada Mei 2012.

Panel lima anggota yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dengan sebulat suara menolak rayuan TV3 dan memerintahkan stesen televisyen itu membayar kos perundangan RM20,000.

Peguam Liew Teck Huat yang mewakili TV3 berhujah bahawa keputusan sebulat suara oleh panel Mahkamah Rayuan yang ketika itu dipengerusikan oleh Hakim Mohamad Ariff Md Yusof (sekarang sudah bersara) yang memutuskan TV3 bertanggungjawab memfitnah Mohammad Nizar, harus diketepikan atas alasan bahawa terdapat unsur berat sebelah kerana hubungan hakim (Mohamad Ariff) sebelumnya dengan PAS.

Beliau berkata TV3 tidak mempersoalkan kewibawaan dan kemampuan Mohamad Ariff sebagai hakim tetapi atas kedudukannya sebagai pengerusi panel Mahkamah Rayuan yang mendengar kes itu disebabkan hubungannya dengan parti politik tersebut.

Liew memohon Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Rayuan untuk rayuan TV3 didengar semula oleh panel lain.

Dalam keputusannya, Hakim Zulkefli berkata TV3 gagal melangkaui "threshold" sama ada terdapat bahaya mengenai unsur berat sebelah bagi pihak Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan yang juga disidangi oleh Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abu Samah Nordin, Datuk Ramly Ali dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali menjawab persoalan perundangan itu secara negatif.

Persoalannya ialah sama ada terdapat unsur berat sebelah oleh Mahkamah Rayuan berhubung dengan hubungan sebelumnya antara pengerusi kuorum dan Mohammad Nizar.

Hakim Zulkefli berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan TV3 dan bahawa keputusan panel Mahkamah Rayuan dikekalkan.

Bagaimanapun, rayuan TV3 belum selesai kerana dua lagi persoalan undang-undang belum didengar oleh Mahkamah Persekutuan dan ia akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada tarikh yang belum ditetapkan.

Mohammad Nizar menyaman TV3 dan penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah mendakwa stesen televisyen telah menyiarkan kenyataan berbaur fitnah menerusi siaran berita Buletin Utama pada 30 Mei 2012 berhubung tweetnya.

Mahkamah Tinggi pada 12 April 2013 menolak saman fitnah Nizar dan beliau kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya pada 25 Feb 2014 dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk penaksiran ganti rugi.

Terdahulu, peguam Asmuni Awi yang mewakili Mohammad Nizar berhujah bahawa hakikat bahawa Mohamad Ariff dan Mohammad Nizar menganggotai parti yang sama tidak menimbulkan bahaya sebenar berat sebelah.

Beliau berkata permohonan Mohamad Ariff untuk melepaskan keanggotaannya dalam PAS diluluskan oleh jawatankuasa pusat parti itu pada 12 Okt, 2008 sementara Mohamad Ariff dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2009.

Turut mewakili Mohammad Nizar ialah peguam Mohd Fitri Asmuni dan Hasanuddin Yusoff. -MD 
 
 

No comments: