[ULASAN] Hakikatnya
ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah ahli Umno. Atas budibicara
kepimpinan Umno, khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak,
beliau dilantik untuk menjadi Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah.
Tugas itu adalah tanggungjawab politik. Beliau dituntut supaya sentiasa
mengatur strategi terbaik demi memelihara dan meningkatkan persepsi
rakyat dan maruah parti agar parti itu terus menjadi pilihan rakyat.
Kedudukan Ketua Perhubungan diisi menerusi lantikan presiden. Ini
bermakna kuasa mutlak mengisi jawatan penting itu bergantung pada budi
bicara presiden yang lazimnya diperakui oleh Majlis Tertinggi.
Walaupun jawatan Ketua Badan Perhubungan Negeri ini diiringi kuasa yang
agak luas dalam pentadbiran dan perjalanan parti di sesebuah negeri, ia
adalah satu kedudukan yang bukan dipilih ahli-ahli parti.
Ahli-ahli parti, khususnya pimpinan peringkat Bahagian Umno perlu akur
pada kebijaksanaan dan kepemimpinan Ketua Badan Perhubungan. Sekaligus
ini melambangkan keyakinan terhadap mutu kepimpinan pucuk pimpinan
parti.
Mukhriz juga ADUN Kedah bagi kawasan Air Hitam. Sebagai mewakili partinya yang diberi mandat oleh rakyat Kedah dalam pilihan
raya umum tiga tahun lalu, beliau juga diberi kepercayaan untuk mengisi kerusi Menteri Besar.
Pelantikan begini adalah lumrah dalam politik Malaysia. Seseorang
pemimpin yang mendapat kepercayaan partinya untuk mengetuai organ
politik tertinggi parti di sesebuah negeri juga diberi kepercayaan untuk
mentadbir negeri.
Namun pengecualian pernah berlaku. Pada pilihan raya umum 2008, PKR,
DAP dan PAS memenangi majoriti DUN Selangor dan ketiga-tiga parti
bersetuju mengangkat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar.
Namun PKR cuba merintis tradisi baru yang menyaksikan Naib Presiden
parti berkenaan ketika itu, Azmin Ali diangkat menjadi Ketua Perhubungan
atau Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor.
Ternyata kejanggalan dan keganjilan langkah politik PKR itu membawa
padah. Azmin ada senarai keutamaannya dalam menguruskan keperluan dan
hal ehwal politik Selangor.
Sementara Khalid pula yang berazam menterjemahkan pengalaman
korporatnya menjadi ideologi pentadbiran negeri. Pemikiran dan perkiraan
korporat tidak sentiasa serasi dengan fiqh aulawiyat politik.
Khalid berpedomankan hukum untung rugi dalam pengurusan agensi dan
syarikat kerajaan negeri. Keutamaannya ialah menokok seberapa banyak
wang dalam rizab kerajaan negeri.
Sementara Azmin pula sentiasa mencongak keuntungan mestilah dalam
bentuk dividen politik atau persepsi baik terhadap parti. Untuk tujuan
itu pengorbanan dana yang besar dan konsisten diperlukan. Maka
berberantakanlah mereka.
Bagaimanapun dalam kes Kedah, Mukhriz diberikan lesen besar mentadbir
kerajaan seraya memelihara kepentingan Umno. Unsur yang membantunya
ialah faktor usia muda dan barangkali aura bapanya, Tun Mahathir
Mohamad.
Namun ketrampilan Mukhriz tidaklah sehebat Tun Mahathir. Majoriti
pimpinan Umno Kedah cemas mendapati mutu kepimpinannya rendah. Mereka
merumuskan ini akan menjejaskan prestasi Umno dalam pilihan raya umum
ke-14.
Maka pada 20 Januari lalu mereka bersetuju memohon presiden Umno yang
juga perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menggantikan Mukhriz dengan
mana-mana ADUN Umno Kedah yang difikirkan lebih layak.
Pada awalnya Mukhriz enggan meletak jawatan. Hampir dua minggu Kedah dijerut ketidakpastian politik.
Ini mendesak supaya Jemaah Pemangku Sultan Kedah bersidang dua hari
untuk menyelami sokongan yang diberikan oleh 35 ADUN negeri itu dari
kalangan Umno, PAS, PKR, DAP dan PAN.
Mungkin ada pihak yang suka menggunakan perangkaan untuk menyelesaikan
isu berkenaan. Namun demi memelihara kesejahteraan rakyat, Jemaah
Pemangku Sultan menimbangkan formula yang lebih berhemah.
Oleh kerana Mukhriz adalah ahli Umno, tidak mungkin beliau boleh
menjadi seorang ketua pentadbir Kedah yang berkesan tanpa sokongan
partinya. Kini partinya tidak menyokong cara kepimpinannya.
Sungguhpun di segi matematiknya Mukhriz dikatakan mendapat sokongan 15
ADUN pembangkang dan lima ADUN Umno, namun beliau sebenarnya sudah
bergeser jika tidak melanggar tradisi kepimpinan dan politik parti.
Umum tahu bahawa sokongan ADUN pembangkang pada Mukhriz hanya helah
politik. Jika Mukhriz bergantung kepada pembangkang untuk mempertahankan
kerusi Menteri Besar, beliau tidak mungkin mampu merealisasikan wawasan
Umno-BN dalam pentabirannya.
Dalam urusan harian, Mukhriz perlu berhadapan dengan ahli-ahli Majlis
Kerajaan dari Umno. Mana mungkin beliau melantik ahli-ahli dari kalangan
ADUN Pembangkang untuk bersama beliau memimpin kerajaan negeri?
Natijahnya pengurusan kerajaan akan terabai dan kepentingan rakyat
terjejas. Justeru Jemaah Pemangku Sultan Kedah memutuskan Mukhriz kini
hilang sokongan daripada partinya sendiri.
Mukhriz memahami kedudukan ini dan prinsip politik partinya sendiri.
Pada Rabu, 3 Februari, beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar
Kedah.
Justeru mulai Khamis 4 Februari 2016 Jemaah Pemangku Sultan merestui
ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Basha Md Hanipah untuk menggantikan
Mukhriz sebagai menteri besar.
No comments:
Post a Comment