WELLINGTON: Bekas diplomat Malaysia yang dituduh "bertindak ganas" dan
tidak sopan dengan menyerang seorang wanita di New Zealand, dijatuhi
hukuman tahanan rumah selama 9 bulan, hari ini.
Mohammed Rizalman Ismail, yang merupakan seorang atase tentera di
kedutaan Malaysia di Wellington pada masa serangan itu, mengaku
melakukan serangan tidak senonoh pada November lalu selepas menafikan
tuduhan awal atas cubaan rogol dan pecah rumah.
Rizalman mengekori wanita New Zealand Tania Billingsley ke rumahnya
pada Mei 2014, menunggu kira-kira 30 minit di luar dan kemudian masuk ke
dalam rumah serta berjalan ke dalam bilik tidurnya dalam keadaan bogel
dari bahagian pinggang ke bawah.
"Anda berlaku ganas kepada Billingsley...Dia seorang wanita muda,
bersendirian di dalam biliknya, yang sepatutnya berhak untuk berasa
selamat dan terjamin di dalam bilik tidurnya," Hakim David Collins
memberitahu Rizalman semasa menjatuhkan hukuman.
"Tiada wanita seharusnya berdepan keadaan menakutkan seperti dialami
Billingsley apabila anda melanggar ‘kesucian’ bilik tidurnya."
Collins berkata tindakan Rizalman bagaimanapun dianggap "terancang",
apabila Billingsley tidak disentuh secara seksual dan Rizalman berharap
dia akan bersetuju melakukan seks.
"Anda salah anggap apabila menyangka senyuman ialah tanda bersetuju
melakukan seks, anda sengaja mengekorinya dan menunggu di luar rumahnya
agak lama," kata hakim.
Rizalman akan menjalani tahanan rumah selama 9 bulan, tetapi tidak di
Suruhanjaya Tinggi Malaysia, dan akan dihantar pulang apabila selesai
tempoh hukumannya.
Peguam Rizalman, Donald Stevens sebelum ini menyatakan beberapa situasi
bagi meringankan hukumannya, termasuk berkaitan penyakit mental. -AFP
No comments:
Post a Comment