THE RAKYAT POST
Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) hari ini memberi jaminan kepada pencarumnya bahawa
pertimbangan pelaburannya adalah sejajar dengan amalan alam sekitar,
sosial dan tadbir urus (ESG).
KUALA LUMPUR, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
hari ini memberi jaminan kepada pencarumnya bahawa pertimbangan
pelaburannya adalah sejajar dengan amalan alam sekitar, sosial dan
tadbir urus (ESG).
Bernama melaporkan Timbalan
Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif
berkata KWSP tidak membuat sebarang pelaburan dalam perniagaan yang
terlibat dalam aktiviti berkaitan perjudian, hiburan dewasa dan alkohol.
“Kami sentiasa menjadi pelabur beretika
dalam erti kata kami tidak melabur dalam sektor-sektor tertentu.
Masyarakat akan mengatakan bahawa melabur dalam saham perjudian dan
alkohol bukan sesuatu yang mereka benar-benar suka.
“Kami perlu mengambil kira perasaan dan
nilai-nilai pemegang kepentingan,” katanya kepada pemberita pada
taklimat media, di sini, hari ini.
Mohamad
Nasir berkata KWSP juga memastikan syarikat-syarikat yang dilaburnya
mengamalkan tanggungjawab sosial korporat yang betul yang mematuhi ESG.
KWSP juga tidak melabur dalam syarikat
yang terlibat dalam penggunaan buruh kanak-kanak, diskriminasi jantina
dan syarikat yang tidak prihatin kepada alam sekitar.
Sebagai contoh, apabila jerebu menjadi
satu isu, KWSP menulis kepada syarikat perladangan yang ia memiliki
kepentingan dan meminta jaminan bahawa mereka tidak terlibat atau
menyumbang kepada masalah itu.
Mengenai pelaburan dalam syarikat
berkaitan bauksit, Mohamad Nasir berkata KWSP yang memiliki 11.8 peratus
ekuiti dalan IJM Corp Bhd, mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak
yang berkaitan dan ‘kami berpuas hati dengan penjelasan mereka dan
memantau dengan rapat perkembangan mereka.
Ini merupakan langkah-langkah yang diambil KWSP untuk memastikan pelaburannya sejajar dengan amalan ESG.
Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, yang menguruskan penghantaran bahan galian itu dimiliki 60:40 secara bersama oleh IJM Corporation Bhd dan Beibu Gulf Holding (Hong Kong) Co Ltd.
No comments:
Post a Comment