PETALING JAYA: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul
Hisyam Shaharin tidak sepatutnya dikecam berhubung pendedahan kecelaruan
pemilihan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, tegas
Setiausaha Cabang PKR Kelana Jaya, Murali Subramaniam.
Murali berkata beliau dan beberapa wakil cabang PKR Selangor yang
bertanggungjawab membuat pendedahan itu dan bukannya Badrul Hisyam atau
lebih dikenali sebagai Chegubard.
Jelasnya, Chegubard hanya hadir dalam sidang medianya pada Rabu untuk menyokong pendedahan itu dibuat.
"Sejak sidang media saya dan teman-teman mewakili pelbagai cabang PKR
dalam Selangor pada 16 Februari lepas pelbagai pihak telah mengeluarkan
kenyataan menyerang Chegubard.
"Saya tegaskan di sini kenyataan berkenaan kecelaruan pemilihan Ahli
Majlis dalam Selangor ialah kenyataan saya dan rakan-rakan dari pelbagai
cabang dalam Selangor bukan kenyataan beliau," katanya kepada pemberita
di sidang media di sini hari ini.
Murali berkata demikian sebagai membidas tindakan Setiausaha Majlis
Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Borhan Aman Shah yang mengadakan sidang
media pada Khamis untuk mengkritik Chegubard berhubung isu itu.
Sidang media Borhan itu bagaimanapun disifatkan Murali sebagai gagal
apabila hanya berjaya menghimpunkan hanya empat daripada 22 ketua cabang
yang lain.
Pada sidang media itu Borhan membidas Chegubard apabila bekas ketua
cabang PKR Rembau itu mengkritik kepimpinan Menteri Besar Selangor,
Datuk Seri Azmin Ali sebagai tidak telus dalam pemilihan 288 ahli majlis
PBT.
"Saya juga mengecam kenyataan yang mahu diambil tindakan ke atas chegubard dan sesiapa sahaja kerana mengkritik Azmin Ali.
"Jika tindakan diambil maka kita akan dilihat lebih teruk dari Umno-BN
kerana kritikan terbuka bukan menjadi satu kesalahan," ujarnya.
Murali berkata Chegubard hanya menambah maklumat yang diperolehinya
bahawa Azmin membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang
tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiausaha
Kerajaan Negeri yang dikeluarkan pada 2013, dalam memilih ahli majlis
sesi akan datang.
Azmin juga meluluskan pelantikan ahli majlis yang tinggal di luar
kawasan tetapi menolak pelantikan Dr Aziz Bari sebagai Ahli Majlis
Perbandaran Ampang Jayan (MPAJ) atas alasan pakar undang-undang itu
menetap di Selayang.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie berkata
kegagalan Aziz menjadi ahli majlis PBT adalah disebabkan masalah
teknikal.
Aziz sepatutnya mengangkat sumpah sebagai ahli majlis MPAJ pada 21
Januari lalu atas kuota DAP, namun gagal berbuat demikian berikutan
namanya tiada dalam senarai berkenaan.
"Dalam mesyuarat MPN kamu sebut dengan jelas bahawa Cabang ada hak
melantik ahli Majlis dan perlu lulusan SPM (minima). Namun apabila
cabang ajukan (cadangan nama) kamu tolak dan kamu namakan kroni kamu
termasuk dari luar kawasan, anggota baru dan termasuk yang tidak layak.
"Kenapa kita buat kenyataan terbuka ? Kami telah membuat bantahan
dalaman dan menulis surat namun semua tidak dipedulikan. Perangai Azmin,
Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan kumpulan mereka melantik ahli
majlis luar dari keputusan cabang ialah tindakan memecah belahkan parti
dan melemahkan struktur parti," tegas Murali.
No comments:
Post a Comment