Tindakan Peguam Negara mengancam amalan kewartawan
yang beretika di negara ini dan menyekat hak orang ramai bagi
mendapatkan maklumat.
PETALING JAYA : Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam ‘ugutan’ yang dibuat Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang bercadang meminda undang-undang meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia kerajaan dan media yang melaporkannya.
Menyifatkan ancaman Apandi itu sebagai tindakan yang boleh melemahkan bidang kewartawanan negara ini, perikatan longgar pengamal media itu menyanggah ‘cubaan jelas untuk menakut-nakutkan media’ daripada melaporkan isu berkaitan kepentingan awam.
“Penggunaan sumber rahsia oleh media bukan untuk mensabotaj kerajaan tetapi demi mencari kebenaran dalam sesuatu perkara dan mempertanggungjawabkan kerajaan pada pihak awam.
“Ia aspek penting dan selari dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan amalan memberikan maklumat. Ia adalah alat semak dan imbang yang penting dalam demokrasi.”
GERAMM berkata, adalah tidak wajar bagi Apandi melepaskan kekecewaannya di atas kebocoran dakwaan salah laku atau salah urus itu dengan menghukum sidang redaksi, sebaliknya menggesa Peguam Negara dan penggubal undang-undang supaya menguatkan peranan media dalam ruang lingkup sistem keadilan.
“Etika kewartawanan juga menyatakan bahawa penggunaan sumber yang tidak dinamakan perlu dipertahankan selagi maklumat yang diperolehi dapat disahkan.
“Berbanding menguatkan lagi akta drakonian seperti OSA (Akta Rahsia Rasmi 1972), GERAMM ingin menggesa Peguam Negara, kerajaan dan penggubal undang-undang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang benar-benar dapat melindungi wartawan dan sumbernya yang melaporkan hal yang benar kepada orang ramai.”
Semalam, Mohamad Apandi dalam temubual eksklusif dengan akhbar Sinchew Daily dipetik berkata, Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk meminda OSA 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan.
Amalan media menggunakan sumber rahsia dalam melaporkan isu berkepentingan awam dipertahankan Mahkamah Tinggi pada 2013. Hakim Lau Bee Laan dalam satu kes saman fitnah telah menolak permohonan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing untuk memaksa seorang wartawan mendedahkan sumbernya.
No comments:
Post a Comment